
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak memulangkan wang tersebut kerana mahu melihat hasil siasatan pihak berkuasa ketika itu.
Najib, 67, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram yang beliau menganggap RM42 juta itu seolah-olah miliknya.
Ketika pendakwaan kes itu, Shamsul Anwar Sulaiman yang juga pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, entiti yang dilantik untuk melaksanakan semua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 1MDB memberi keterangan Najib “terkejut” apabila dimaklumkan RM42 juta dimasukkan ke akaunnya.
Sithambaram: Kamu rasa terkejut apabila mendapati wang itu ada dalam akaun kamu. Jika kamu tahu wang itu ada dalam akaun kamu, sepatutnya memulangkannya.
Najib: Ia sedang disiasat. Tertakluk kepada penyiasatan.
Sithambaram: Apabila mengetahui (tentang wang itu), tidakkah kamu sepatutnya memulangkannya? Walaupun siasatan sedang dijalankan, kamu boleh mengembalikannya.
Najib: Saya mahu melihat hasil siasatan.
Terdahulu, Sithambaram membacakan afidavit Najib dalam saman sivilnya terhadap bekas menteri pengangkutan, Dr Ling Liong Sik yang mendakwa ahli Parlimen Pekan itu menyalahgunakan wang.
Sithambaram juga membacakan afidavit Ling yang memetik afidavit bersumpah Najib membalas dakwaan beliau mengaku menerima dana SRC International dalam akaunnya.
Najib bagaimanapun berkata, ketika itu, beliau tidak tahu RM42 juta ialah wang SRC.
Sithambaram: Kamu tidak tahu yang wang ini masuk ke akaun kamu melalui 2 perantara?
Najib: Tidak, saya tidak tahu langsung ia wang SRC.
Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Sithambaram, beliau bertanggungjawab terhadap hutang RM9.3 bilion yang ditanggung kerajaan susulan skandal 1MDB.
Najib kini membela diri terhadap 7 tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International yang terdiri daripada 3 tuduhan pecah amanah, 3 tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.
Najib memberitahu mahkamah, beliau terperanjat apabila mengetahui keputusan SRC International melabur berbilion ringgit di luar negara, tetapi berkata beliau tidak tanya lembaga pengarah mengenai perkara itu.
Sithambaram: Apabila kamu diberitahu pelaburan besar dibuat di luar negara, adakah kamu menyatakan kamu terkejut Menteri Kewangan Diperbadankan, sebagai pemegang saham tunggal, tidak dimaklumkan tentang urus niaga ini yang melibatkan modal SRC?
Najib: Sudah tentu, saya terkejut.
Sithambaram: Baiklah terkejut. Kalau terkejut, kamu akan menyoal lembaga pengarah bagaimana mereka boleh menghantar sejumlah besar (wang) ke luar negara. Adakah kamu bertanya?
Najib: Tidak, saya tidak bertanya.
Najib turut tidak bersetuju dengan cadangan beliau tidak menyoalnya kerana semua minit mesyuarat pemegang saham dirujuk kepadanya, ditandatanganinya dan diserahkan kepada lembaga pengarah.
Sithambaram mencadangkan Najib tahu apa yang dilakukan SRC International, tetapi bekas menteri kewangan itu tetap menegaskan beliau menyerahkan urusan kepada pengurusan syarikat.
Najib berkata, beliau hanya tahu apa yang dikemukakan untuk perhatiannya.