
Pada 10 Dis lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Petronas memohon semakan kehakiman bagi membatalkan Notis Penilaian membabitkan kira-kira RM1.3 bilion dalam Cukai Jualan Negeri (SST) dan mengisytiharkan seksyen tertentu dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak sebagai “ultra vires” kepada Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Borneo Post, Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam menolak rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Petronas.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan semakan kehakiman Petronas didengar di Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Akhbar itu melaporkan RM1.3 bilion SST yang tidak dibayar dan penalti itu dikira sehingga 30 Jun tahun lalu.
Secara berasingan, saman sivil kerajaan Sarawak terhadap Petronas kerana tidak membayar SST dan penalti akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuching pada 14 Jan ini.
Pada 11.09 pagi tadi, saham Petronas Chemicals meningkat 7 sen kepada RM7.52 dengan 289,500 saham bertukar tangan, Petronas Gas naik 34 sen kepada RM17.22 dengan 97.900 saham diniagakan, manakala Petronas Dagangan tidak berubah pada RM23.10.