
Peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili E Meeriam Rosaline berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Soffian Abdul Razak akan mendengar permohonan itu untuk menentukan sama ada anak guamnya boleh menjadi pencelah.
Katanya, Meeriam memfailkan permohonan itu pada 17 Dis lalu kerana beliau mempunyai kepentingan di sisi undang-undang.
Vell Paari memfailkan saman terhadap bapanya pada 2 Dis lalu supaya pemeriksaan dilakukan di bawah Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 untuk menentukan tahap kesihatan mental Samy Vellu.
Katanya, Samy Vellu disahkan menghidap demensia akibat penyakit Alzheimer 2 tahun lalu dan tidak sihat dari segi mental untuk membela diri dalam 2 kes undang-undang terhadapnya.
Ogos lalu, Meeriam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap Samy Vellu dan Vell Paari memohon perisytiharan daripada mahkamah untuk diiktiraf dan diterima sebagai ahli keluarga mereka.
Beliau juga mahu menghubungi dan melawat Samy Vellu tanpa syarat daripada ahli keluarga lain, termasuk Vell Paari.
Katanya, Vell Paari mengambil alih kewangan Samy Vellu sejak 2017.
Meeriam, 59, berkata, beliau dalam hubungan separa pasangan dengan bekas menteri kerja raya itu selepas berkahwin secara adat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 1981 dan mempunyai dokumen untuk menyokong dakwaannya.
Meeriam turut meminta Samy Vellu dan Vell Paari membayar kos sara hidup berjumlah RM191,107.35 yang didakwanya tidak dilangsaikan sejak Julai tahun lalu.
Beliau turut meminta bayaran “one-off” RM20 juta sebagai kos menyara seumur hidupnya, selain bayaran nafkah bulanan RM25,000.