Karim nafi ahli Warisan halang lawan berkempen

Karim nafi ahli Warisan halang lawan berkempen

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin mendakwa penyokong Warisan menghalang Mohamad Alamin dan kumpulannya berkempen di Batu 6 petang semalam.

Karim Bujang (kanan) meminta Mohamad Alamin membuat laporan polis, jika benar beliau dihalang penyokong Warisan daripada berkempen di Batu 6 semalam.
KIMANIS:
Calon Warisan bagi Pilihan Raya Kecil Kimanis, Karim Bujang menafikan petugas pilihan rayanya menghalang dan menyoal siasat lawannya dari Umno Sabah, Mohamad Alamin serta kumpulannya berkempen semalam.

“Tidak benar. Jika ia benar-benar berlaku, beliau bebas membuat laporan polis berhubung perkara itu,” katanya selepas menghadiri sambutan Krismas di Ladang Bongawan hari ini.

Terdahulu, Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin mendakwa penyokong Warisan menghalang Mohamad dan kumpulannya berkempen di Batu 6 petang semalam.

Katanya, beliau akan membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa serta Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat insiden itu.

“Ini ialah kerja samseng, menghalang dan menahan calon kami daripada berkempen. Kenapa mereka perlu menyoal siasat dan tanya apa yang kami lakukan serta mana kami pergi?

“Mereka tiada hak menahan beliau. Ini boleh mencetuskan konflik,” katanya kepada wartawan di Kampung Mandangin.

Karim berkata, partinya sedang mengadakan sebuah acara di Batu 6 ketika Mohamad dan kumpulannya tiba.

Beliau percaya ahli Warisan menasihatkan mereka tidak memasuki tempat itu.

Katanya, satu rakaman video selama 48 saat menunjukkan seorang lelaki yang menjerit di depannya, tiada kaitan dengannya.

Beliau berkata, lelaki ituyang dikenali sebagai Pinor Kuibi menjerit ke arah seorang ahli Warisan yang bersamanya ketika lawatan dari rumah ke rumah semalam.

Katanya, Pinor dijanjikan bayaran oleh ahli Warisan untuk kerja yang dilakukan.

Karim berkata, Pinor juga tidak gembira kerana tidak dipilih sebagai ketua kampung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.