Pertikaian Laut China Selatan, nota bantahan saja tak cukup

Pertikaian Laut China Selatan, nota bantahan saja tak cukup

Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata rundingan dan perbincangan dua hala perlu terus diperkasa serta diperhebatkan bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata kerajaan perlu menggunakan pendekatan ‘soft power, soft skill’ dalam menangani isu kontroversi bagi mengelakkan timbul ketegangan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersetuju pendekatan semata-mata mengeluarkan nota bantahan kepada negara terbabit pertikaian tuntutan di perairan Laut China Selatan tidak mencukupi.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin, berkata platform dan mekanisme seperti rundingan serta perbincangan dua hala juga perlu terus diperkasa dan diperhebatkan bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

“Saya setuju bukan hanya perlu nota bantahan, tetapi mekanisme lain seperti perbincangan antara dua pihak, proses rundingan antara dua pihak juga perlu diperhebat supaya kita boleh bincang secara ‘adik beradik’ untuk menyelesaikan dan menjernihkan isu tertentu.

“Pendekatan kita harus ‘soft power, soft skill’ dalam urusan yang dilihat begitu kontroversi, jangan sampai ada isu menimbulkan ketegangan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian susulan pandangan bekas menteri luar, Senator Anifah Aman pada sesi itu yang menyatakan pendekatan mengeluarkan nota bantahan bukan penyelesaian terhadap isu pertikaian tuntutan di perairan Laut China Selatan kerana ia sekadar untuk rekod pihak berkenaan.

Anifah memberi contoh Vietnam yang kekal sumber sokongan paling kukuh Malaysia dalam isu pertikaian tuntutan di Laut China Selatan dahulu kerana pendekatannya sering menekankan perbincangan dua hala.

“Tiada yang lebih penting daripada hubungan dua hala, saya berhubung melalui telefon dengan kebanyakan, jika tidak semua, menteri Asean. Kalau ada sedikit masalah, kita telefon terlebih dahulu sebelum isu tersebut (masalah) dibawa ke media atau dikeluarkan secara umum.

“Yang penting, saya ingin tekankan kita tidak boleh menyelesaikan masalah hanya dengan nota bantahan. Pergilah ketuk pintu dan katakan, bolehkah kita duduk dan berbincang supaya ini tidak menjadi masalah besar,” kata Anifah.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Senator Bobbey Suan mengenai implikasi tindakan Filipina meluluskan akta baharu menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah dan peta melanggar sempadan maritim negeri itu, Mohamad berkata. kerajaan tidak berkompromi isu itu dan sudah menghantar nota bantahan.

Tegasnya, Sabah menyertai Malaysia pada 1963 dan melaksanakan hak mereka (right to self-determination) untuk bersama dalam persekutuan berkenaan melalui pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Jadi, Filipina tidak ada hak mengatakan Sabah milik mereka dan dalam konteks ini, setelah mendapat nasihat semua agensi, Kementerian Luar menghantar nota bantahan terhadap Filipina bahawa akta diluluskan itu tidak selari semangat undang-undang antarabangsa kerana melangkaui sempadan maritim kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.