Beregu muda tewaskan pemain senior V Shem-Wee Kiong

Beregu muda tewaskan pemain senior V Shem-Wee Kiong

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan Goh V Shem-Tan Wee Kiong 21-19 dan 21-18 pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020.

Goh V Shem (kiri, baju kuning) dan Tan Wee Kiong menentang rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada pusingan pertama beregu lelaki dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beregu lelaki senior negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal mara dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 selepas ditundukkan beregu muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Arena Axiata hari ini.

Aaron-Wooi Yik menyingkirkan senior mereka V Shem-Wee Kiong seawal pusingan pertama dengan keputusan 21-19 dan 21-18 menerusi aksi lebih baik dan kurang melakukan kesilapan.

“Prestasi hari ini memang puas hati. V Shem-Wee Kiong senior kita, selalu latih bersama, tiap-tiap hari. Pelan perlawanan pun semua tahu, cuma siapa pamerkan aksi lebih baik akan menang,” kata Aaron kepada media selepas perlawanan.

Beregu yang menduduki ranking ke-8 dunia itu dijangka bertemu sama ada beregu nombor 1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo atau pasangan dari pusingan kelayakan, Lin Chia Yu-Yang Ming-Tse dari Taiwan di pusingan ke-2.

Aaron berharap mereka mampu mempamerkan aksi lebih baik dan memberi saingan lebih sengit kepada lawan.

“Kita kena fokus sebab tidak senang untuk kalahkan beregu nombor 1 dunia. Memang kita harapkan kemenangan tidak kira jumpa Marcus-Kevin atau Lin-Yang.

“Kalau pasangan Marcus-Kevin, kita pernah lawan mereka 3 kali dan memang perlawanan sengit sehingga heret ke set penentuan. Namun, kita harap boleh bagi perlawanan sengit untuk mereka.”

Wooi Yik mengakui kemenangan pada pusingan pertama ke atas pemain senior sedikit sebanyak menaikkan keyakinan mereka untuk beraksi lebih baik dalam kejohanan ini.

Katanya, jika terpaksa menentang pasangan Marcus-Kevin, beliau akan tetap lawan walaupun berdepan saingan sengit.

Turut melangkah ke pusingan ke-2 ialah pasangan yang baru digugurkan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Kedua-duanya mempamerkan aksi cemerlang dengan mengejutkan pasangan ke-12 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 21-15, 18-21 dan 21-15.

Beregu ke-19 dunia itu dijangka bertemu sama ada beregu pilihan ke-8 kejohanan, Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong dari China atau beregu dari pusingan kelayakan, Jones Ralfy Jansen-Peter Kaesbauer dari Jerman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.