
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, mereka boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Bagaimanapun, beliau dalam sidang media hari ini enggan mendedahkan butirannya, termasuk siapa yang tidak membayar kompaun itu atau bila tindakan lanjut akan diambil.
Tahun lalu, SPRM mengeluarkan kompaun di bawah Akta 613 terhadap 80 individu dan entiti yang dikatakan menerima dana daripada 1MDB.
Ia terdiri daripada beberapa individu berprofil tinggi termasuk pemimpin Umno, Shahrir Abdul Samad dan Nazir Razak yang merupakan adik kepada bekas perdana menteri, Najib Razak.
Entiti lain termasuk beberapa parti politik, 23 syarikat dan 5 pertubuhan.
Mereka dikehendaki memulangkan wang yang diterima dalam 2 minggu atau mencabar notis kompaun itu di mahkamah.
“Kami beri peluang kepada mereka untuk membayar kompaun, jika tidak, kami akan ambil tindakan.
“Apabila kami ambil tindakan, kami akan dedahkan lebih banyak butiran.”
Latheefa berkata, SPRM sudah menerima notis untuk mencabar hak mereka mengeluarkan kompaun.
The Edge melaporkan Shahrir dan bekas timbalan menteri kewangan, Ahmad Maslan mencabar notis kompaun itu.
Latheefa berkata, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut.
Sementara itu, Latheefa berkata, semua kes lama akan dibuka semula, tetapi beliau tidak boleh mendedahkan sebarang butiran bagi mengelakkan siasatan terjejas.
Media sebelum ini melaporkan Latheefa akan membuka semula 10 kes lama, tetapi hari ini beliau berkata jumlah itu melebihi 10 kes.
Ditanya jika kes itu membabitkan anggota pentadbiran baru, Latheefa berkata, kes lama merujuk kepada semua kes yang ditutup secara mencurigakan.
Terdahulu, di Istana Budaya, Latheefa mengumumkan pementasan teater bertajuk “Semarak Pertiwiku” mengenai satu skandal rasuah dalam sebuah projek mega dan ia turut menyentuh isu integriti.
Teater yang dijayakan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu, pertama kali dipersembahkan di Kuching Julai tahun lalu.