
Kumpulan itu yang diketuai pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menjalankan siasatan berhubung projek itu yang disifaktkan menafikan hak mereka sebagai penduduk asal di kawasan itu.
Menurut Mustafa, pembinaan empangan itu melibatkan kawasan dari Kuala Lah ke hulu Sungai Nenggiri yang didiami oleh Orang Asli suku Temiar dan suku Mendriq sejak ribuan tahun lalu.

Tambahnya, kawasan itu juga meliputi kawasan bersejarah, keramat dan suci Orang Asli setempat kerana terletaknya perkuburan nenek moyang mereka.
FMT dimaklumkan, empangan itu akan dibina oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik dan air di negeri berkenaan dalam tempoh 5 tahun.
“Sekiranya empangan ini berjaya dibina, kami terpaksa berhadapan dengan penghapusan kawasan penting yang menjadi sebahagian daripada identiti dan jati diri, selain memberi kesan ke atas kehidupan kami,” katanya dalam satu sesi bertemu Suhakam di sini, hari ini.
Kumpulan itu antara lain membantah ketidaktelusan pihak berkaitan dalam proses rundingan dan proses lain yang melibatkan maklumat daripada Orang Asli.
“Memang ada perbincangan dengan pakar perunding dari UKM yang dilantik oleh TNB, tetapi skop rundingan hanya melibatkan ‘janji-janji’.
“Perjumpaan dengan perunding juga tidak menjelaskan kesan yang terpaksa dihadapi oleh komuniti Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan itu,” katanya dengan menambah bahawa antara kesan yang dihadapi ialah kehilangan tempat tinggal, terhapusnya kesan dan bukti sejarah kehidupan komuniti setempat, selain tidak boleh menuntut ganti rugi ke atas kehilangan tempat tinggal.
Justeru mereka memohon Suhakam berperanan sebagai perantara dalam isu berkenaan, sekali gus mengatur perjumpaan dengan TNB dan kementerian berkaitan untuk perbincangan lanjut.
“Kita kini berada dalam alaf Malaysia Baru dan seharusnya kes melibatkan penafian hak Orang Asli seperti ini tidak lagi berlaku,” katanya ketika menyerahkan memorandum kepada pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph dan Madeline Berma.