Masa depan Maszlee ‘cerah’ bawah Anwar, sindir Kadir

Masa depan Maszlee ‘cerah’ bawah Anwar, sindir Kadir

Maszlee berkata, keputusannya meletak jawatan dibuat berdasarkan nasihat Dr Mahathir Mohamad.

Penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin berkata, Maszlee Malik lebih merupakan menteri Anwar, berbanding bekas menteri Mahathir.
PETALING JAYA:
Wartawan veteran A Kadir Jasin menyindir bahawa bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mempunyai masa depan yang cerah di bawah Anwar Ibrahim selepas presiden PKR itu membuat penilaian memberangsangkan berhubung prestasi beliau.

Komen Kadir muncul selepas Anwar seolah-olah memuji Maszlee yang meletak jawatan sebagai menteri pendidikan dengan berkata, beliau mempunyai masa depan dalam politk, malah boleh kembali ke Kabinet sekiranya kekal konsisten.

Maszlee mengumumkan meletak jawatan pada Khamis, kira-kira 20 bulan selepas dilantik sebagai menteri pendidikan dengan berkata, keputusannya meletak jawatan dibuat berdasarkan nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kadir, yang merupakan penasihat media dan komunikasi perdana menteri berkata, ia bermakna bahawa “sudah hampir pasti” Maszlee akan diberikan jawatan menteri apabila Anwar mengambil alih kedudukan sebagai perdana menteri.

“Sebaik sahaja Maszlee meninggalkan Kabinet perdana menteri sedia ada, beliau diberikan penilaian memberangsangkan oleh perdana menteri menunggu.

“Nampaknya Maszlee lebih merupakan menteri Anwar, berbanding bekas menteri Mahathir.

“Malah beliau (Anwar) membandingkan peletakan jawatan Maszlee dengan pemecatannya sendiri pada 1998. Seperti Maszlee, Anwar dinasihatkan supaya meletak lawatan, tetapi beliau memilih dipecat,” katanya di Facebook hari ini.

Kadir berkata, menteri lain yang berprestasi rendah juga harus berasa malu kerana masih dikekalkan dalam Kabinet dan pada saat yang sama harus banyak bersyukur kerana tidak berdepan nasib sama seperti Maszlee.

“Oleh sebab itu orang Melayu cakap ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’,” katanya merujuk kepada peribahasa Melayu yang bermaksud masa depan seseorang yang bergantung pada nasib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.