
Pengarah JSJN, Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan dan mengenal pasti masalah yang wujud memandangkan terdapat laluan mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier.
“Saya mahu tahu apakah yang mereka ada untuk elak terlibat mengedar dadah. Mungkin mereka ada SOP sendiri, saya tidak tahu. Tetapi saya ingin membina jalinan, supaya mereka ada tempat untuk membuat rujukan.
“Saya juga mahu mengenali mereka dalam usaha mencegah perkara ini (pengedaran dadah). Saya tahu ada cara untuk mengedar dadah menerusi kurier. Saya tidak katakan ia semakin aktif, tetapi ada cara yang digunakan,” katanya di Bukit Aman, hari ini.
Sewaktu membentangkan laporan pencapaian jabatannya Mohd Khalil berkata, sepanjang 2019 pihaknya berjaya menangkap 19 keldai dadah sebelum mereka keluar negara.
Beliau memberitahu, 9 ketua sindiket pengedaran dadah juga berjaya ditumpaskan pada tahun lalu.
“Sepanjang 2019, JSJN membuka sebanyak 137,961 kertas siasatan. Daripada jumlah itu, 97,111 atau 70% kes berjaya dibawa ke mahkamah,” katanya.
Selain itu kata belau, bagi mengelakkan negara menjadi pusat pemprosesan dadah, 23 makmal berjaya dibongkar sepanjang 12 bulan lalu, lebih rendah berbanding tahun 2018 dengan 35 makmal dimusnahkan.
“Pada tahun ini 81 tangkapan dibuat berkaitan makmal pemprosesan dadah, manakala 14 ahli kimia turut ditahan.
“Selain dadah, tindakan turut diambil ke atas pemilikan ketum, sama ada dalam bentuk daun atau cecair. Sebanyak 161.2 tan daun ketum dan 64.8 liter cecair ketum dirampas,” katanya.
Khalil berkata, pihaknya berjaya merampas 20 tan dadah bernilai RM2.7 bilion sepanjang 2019, berbanding hanya 8.9 tan bernilai RM394 juta sepanjang 2018.
Katanya, tangkapan melibatkan dadah turut meningkat pada 2019, iaitu sebanyak 1,808 tangkapan, berbanding 1,186 pada 2018.