Tiada masalah jika potong elaun menteri, kata Azmin

Tiada masalah jika potong elaun menteri, kata Azmin

Fokus Putrajaya ialah mengurus kewangan dengan lebih bertanggungjawab supaya amalan rasuah dan salah guna kuasa dapat dielakkan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada satu sidang media di Bukit Antarabangsa hari ini.
BUKIT ANTARABANGSA:
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Putrajaya bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman untuk memotong elaun menteri.

Azmin berkata, lebih penting adalah untuk mengurus kewangan kerajaan dengan lebih bertanggungjawab supaya amalan rasuah dan salah guna kuasa dielakkan, sekali gus memberi kesan kepada rakyat di seluruh negara.

“Kalau perlu potong, potonglah. Tidak ada masalah. Apa yang lebih penting adalah kita harus melihat keperluan pada hari ini untuk mengurus kewangan secara bertanggungjawab dan berhemah.

“Juga bagi memastikan tidak ada amalan rasuah dan salah guna kuasa kerana pengalaman pahit yang kita alami sejak beberapa tahun ini, memberikan kesan parah kepada ekonomi negara dan rakyat,” katanya selepas melawat insiden tembok penahan pecah di Bukit Antarabangsa di sini, hari ini.

Azmin berkata, disebabkan keadaan itu Putrajaya pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini memberikan fokus pada usaha membanteras rasuah dan amalan salah guna kuasa dan berbelanja secara berhemah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai cadangan Syed Saddiq supaya Putrajaya memotong elaun ahli politik dan menteri, susulan kontroversi melibatkan elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling pada 20 Dis menyatakan, Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) mulai Januari 2020 bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang baru dimansuhkan.

Bagaimanapun, Syed Saddiq memberitahu Putrajaya akhirnya bersetuju menangguhkan pelaksanaan pemansuhan BIPK yang sebelum ini diumumkan berkuatkuasa Jan depan melibatkan pelantikan baru penjawat awam.

Azmin bagaimanapun berkata, perkara berkenaan akan terus dibincangkan secara mendalam dlam mesyuarat Jemaah Menteri pada setiap Rabu dan menegaskan keputusan akan diambil selepas menerima pandangan dan reaksi daripada rakyat.

“Jemaah Menteri sentiasa mengambil maklum tentang pandangan daripada rakyat dan kita selalu membincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Kita ambil masa 4 hingga 5 jam setiap hari Rabu untuk membincangkan masalah seperti ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.