Sumbangan sektor perkhidmatan 60% KDNK, menteri saran guna teknologi tinggi

Sumbangan sektor perkhidmatan 60% KDNK, menteri saran guna teknologi tinggi

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor perkhidmatan dalam negara masih tidak dapat mencapai sasaran sumbangan sebanyak 60% kepada KDNK negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK menaik, namun pemain industri dalam sektor berkenaan masih membekalkan perkhidmatan secara tradisional.
BUKIT ANTARABANGSA:
Putrajaya pada ketika ini mahu syarikat dan individu yang terlibat dalam sektor perkhidmatan memberi fokus kepada penggunaan teknologi tinggi bagi mencapai sasaran sumbangan 60% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun sektor perkhidmatan pada tahun ini dan tahun lalu mencatat pertumbuhan baik, namun pemain industri dalam sektor itu masih membekalkan perkhidmatan tradisional, seperti pembekalan makanan.

“Kena bezakan sektor perkhidmatan dalam negara kita, khususnya pada tahun ini dan tahun lepas mencatatkan pencapaian baik, namun sektor perkhidmatan masih lagi melibatkan perkhidmatan tradisional.

“Kita mahu melangkah ke tahap lebih kompetitif supaya perkhidmatan dibekalkan adalah perkhidmatan berteknologi tinggi, bukan sahaja perkhidmatan makanan secara tradisional,” katanya selepas melawat kawasan insiden tembok penahan pecah di Bukit Antarabangsa di sini, hari ini.

Menurut Azmin, pemain industri terlibat dengan sektor perkhidmatan boleh menggunakan teknologi baru seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) yahg pada ketika ini menjadi tumpuan Putrajaya dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan, sektor perkhidmatan dalam negara masih tidak dapat mencapai sasaran sumbangan sebanyak 60% kepada KDNK negara.

Ketuanya Mohd Uzir Mahidin berkata, disebabkan itu hasrat melihat Malaysia mencapai status negara maju pada 2020 tidak kesampaian, memandangkan ciri ditetapkan adalah sektor perkhidmatan perlu menyumbang sebanyak 60% kepada KDNK negara.

Beliau menjangkakan Malaysia hanya akan mencapai status negara maju dalam tempoh 3 tahun lagi, walaupun sasaran awal adalah pada tahun 2020, namun optimis ekonomi negara akan terus berkembang.

Mengulas mengenai insiden rumah yang terkesan dengan pergerakan tanah di kawasan Ukay Perdana, Azmin memberitahu laporan keputusan dan perbincangan melibatkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan akan diketahui 8 Jan depan.

“Tuan rumah sudah kosongkan rumah dan beberapa jiran lain turut bertindak mengosongkan kediaman masing-masing. Kita sedia maklum ini adalah kawasan sensitif sejak beberapa tahun lalu dan tanggungjawab MPAJ untuk memastikan kawasan ini selamat.

“Saya berharap 8 Jan depan, akan ada keputusan supaya langkah seterusnya dapat diambil. Saya sedia berbincang dengan menteri besar Selangor. Apakah keperluan yang diperlukan supaya tindakan segera dapat dimulakan dan diambil,” katanya.

Terdahulu, sebuah banglo di Jalan Kelab Ukay 2, diarah untuk dirobohkan secepat mungkin susulan berlaku pergerakan tanah yang serius di premis berkenaan, pada awal pagi 26 Dis.

Kejadian bermula kira-kira jam 4 pagi itu menyaksikan rumah terbabit mengalami kerosakan struktur kritikal hingga diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk diduduki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.