Polis perlu ada hospital sendiri seperti tentera, kata Patriot

Polis perlu ada hospital sendiri seperti tentera, kata Patriot

Tahap kemampuan perkhidmatan hospital tentera sekarang tidak mampu menampung kehadiran anggota polis jika ia digabungkan melainkan kualiti dipertingkat terlebih dahulu.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, jumlah anggota polis lebih ramai daripada tentera dan matlamat kedua-dua badan itu adalah menjamin keselamatan negara.
PETALING JAYA:
Persatuan Patriot Nasional (Patriot) berkata, sudah tiba masanya polis disediakan hospital sendiri bagi memudahkan anggotanya mendapatkan rawatan perubatan sepertimana dinikmati Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presidennya, Mohamed Arshad Raji berkata, langkah itu dilihat perlu memandangkan jumlah anggota polis lebih ramai daripada tentera dan matlamat kedua-dua badan itu adalah menjamin keselamatan negara.

Mengulas cadangan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang memohon kerajaan memberi peruntukan bagi membolehkan anggotanya menikmati kemudahan perubatan di hospital tentera, Arshad bimbang dengan tahap kemampuan kemudahan yang ada.

“Kalau polis nak kongsi hospital dengan tentera ada sedikit masalah, ia melibatkan kemampuan kemudahan hospital tentera itu sendiri, kena dipertingkatkan terlebih dahulu.

“Banyak kekuranganya hospital tentera yang perlu ditambah baik dari segi kemudahan, kepakaran. Bagi saya perkhidmatan di sana masih kurang memuaskan, tingkatkan kualiti dahulu.
“Sekarang kalau pegawai atau pesara tentera nak dapatkan rawatan berjam-jam tunggu, sebab tak ada kakitangan perubatan yang cukup.

“Kalau tambah dengan anggota polis mendapat rawatan di sana, lagi lama kena tunggu untuk dapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh mewujudkan hospital untuk anggota polis secara berperingkat.

“Mungkin boleh bina hospital untuk polis secara berperingkat dan jadikan sistem yang ada dalam tentera sebagai contoh untuk dilaksanakan mengikut kemampuan kerajaan,” katanya.

Semalam Hamid berkata, pihaknya memohon kerajaan memberi peruntukan bagi membolehkan anggotanya menikmati kemudahan perubatan di hospital tentera.

Pada 23 Dis, Hamid dilaporkan berkata, ibu pejabat polis di Bukit Aman berada dalam keadaan daif seperti “dianak tirikan” kerana beberapa kemudahan anggotanya masih kurang.

Beliau juga meminta Putrajaya memberi perhatian kepada pasukan polis dengan menyediakan beberapa fasiliti seperti dewan, lot parkir dan padang kawad di Bukit Aman.

Hamid turut membandingkan kemudahan diperoleh tentera yang ketika ini mempunyai fasiliti lebih baik berbanding polis seperti mempunyai hospital, bangunan canggih dan mempunyai maktab tentera sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.