Pelancong China, India dikecualikan visa setahun

Pelancong China, India dikecualikan visa setahun

Putrajaya bagaimanapun mengehadkan tempoh lawatan kepada 15 hari tanpa sebarang lanjutan.

Pelancong China dan India boleh kembali ke Malaysia selepas 45 hari dari tarikh mereka meninggalkan negara ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelancong dari China dan India dikecualikan visa selama setahun mulai tahun depan dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa sebarang lanjutan.

Pengecualian visa itu diumumkan dalam satu perintah menteri di bawah Akta Pasport yang diwartakan Khamis lalu dan ditandatangani Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menjalankan fungsi menteri dalam negeri.

Pelancong hanya perlu berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik, secara sendiri atau melalui agensi pelancongan yang berdaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia di China atau India.

“Pelancong hendaklah melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh 3 bulan selepas ia berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik.”

Warta itu turut menyatakan pelancong dari China dan India perlu mempunyai tiket penerbangan balik terus ke India atau ke negara lain, jika melakukan perjalanan melalui udara.

Pelancong dari 2 negara itu perlu menunjukkan mereka mempunyai wang poket mencukupi, kad kredit atau kad bank serta jadual perjalanan di Malaysia.

“Pelancong berkenaan juga dibenarkan mendaftar semula untuk memasuki Malaysia selepas tempoh 45 hari dari tarikh mereka meninggalkan Malaysia.”

Menurut warta itu, pelancong China dan India perlu masuk serta keluar dari Malaysia melalui lapangan terbang dan 7 pintu masuk.

“Bangunan Sultan Iskandar di Johor, Stesen Keretapi Johor Bahru, Pos Kawalan Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor, Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Itam di Kedah, Sungai Tujoh di Sarawak dan Pos Kawalan Imigresen Tedungan di Batu Danau Limbang Bahagian Kelima, Sarawak.”

Malaysia menyasarkan kehadiran 30 juta pelancong dengan jangkaan pendapatan sehingga RM100 bilion untuk sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.