Sektor perkhidmatan gagal sasar 60% KDNK capai status negara maju

Sektor perkhidmatan gagal sasar 60% KDNK capai status negara maju

Program Transfoirmasi Ekonomi menyebut, Malaysia akan menumpukan kepada pembangunan 'sektor perkhidmatan yang besar dan maju'.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, hasrat melihat Malaysia mencapai status negara maju pada 2020 tidak akan kesampaian memandangkan ciri yang ditetapkan adalah sektor perkhidmatan perlu menyumbang sebanyak 60% kepada KDNK. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sektor perkhidmatan dalam negara masih tidak dapat mencapai sasaran untuk menyumbang sebanyak 60% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketuanya Mohd Uzir Mahidin berkata, disebabkan itu hasrat melihat Malaysia mencapai status negara maju pada 2020 tidak akan kesampaian, memandangkan ciri yang ditetapkan adalah sektor perkhidmatan perlu menyumbang sebanyak 60% kepada KDNK negara.

“Sektor perkhidmatan adalah sektor yang mendominasi dalam KDNK berbanding sektor pertanian, perkilangan, pembinaan dan perlombongan. Sumbangan sektor perkhidmatan ketika ini adalah lebih kurang 56%.

“Ciri-ciri yang kita hendak, kalau kita tengok dalam perancangan Malaysia, kita mahu capai ke tahap 60%, mungkin ada kekurangan sikit daripada sasaran yang kita hendak capai,” katanya kepada pemberita di Sasana Kijang, hari ini.

Mohd Uzir berkata, beliau menjangkakan Malaysia hanya akan mencapai status negara maju untuk tempoh 3 tahun lagi, walaupun sasaran awal adalah pada tahun 2020. Bahkan optimis ekonomi negara akan terus berkembang.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah pada 2017 menunjukkan, berdasarkan polisi ditetapkan Putrajaya, Malaysia berhasrat beralih ke arah ekonomi di mana 60% KDNK negara adalah daripada sektor perkhidmatan ekonomi, selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

ETP menyebut, Malaysia akan menumpukan kepada pembangunan “sektor perkhidmatan yang besar dan maju”.

Daripada 11 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah ETP, 7 daripadanya adalah NKEA perkhidmatan.

Mohd Uzir memaklumkan, berdasarkan laporan awalan banci perdagangan borong dan runcit dikeluarkan hari ini, sebanyak 468,930 entiti perniagaan yang beroperasi pada 2018, berbanding 370,725 pada 2013. Pertumbuhan tahunan sebanyak 4.8%.

“Jumlah pendapatan dijana adalah RM1,321.7 bilion berbanding RM893.2 bilion pada 2013 dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 8.2%. Perdagangan borong menyumbang jumlah tertinggi bagi jumlah pendapatan pada 2018, iaitu RM672.4 bilion.

“Kemudian diikuti perdagangan runcit (RM494.9 bilion) dan kenderaan bermotor (RM154.4 bilion). Bilangan pekerja terlibat dalam sektor ini adalah seramai 2 juta pada 2018 dengan gaji dan upah dibayar sebanyak RM62.8 bilion,” katanya.

Banci Perdagangan Borong dan Runcit ini dilaksanakan untuk setiap 5 tahun. Kali terakhir ia dilaksanakan adalah pada tahun 2013 yang pada ketika itu dikenali sebagai Banci Perdagangan Edaran. Bancian ini dilaksanakan pada 2019 bagi tahun rujukan 2018.

Jelasnya, walaupun sektor perkhidmatan menjadi tulang belakang kepada KDNK negara, sumbangan perniagaan atas talian kepada negara tidak boleh diketepikan memandangkan ia turut membantu kepada pertumbuhan entiti perniagaan dalam negara.

“Penggunaan internet dalam perniagaan meningkat hampir 83% berbanding sebelum ini 72%. Penggunaan komputer untuk urusan perniagaan juga meningkat daripada 85% kepada 99%.

“Kemudian kalau kita amati, bilangan pertumbuhan perniagaan juga meningkat. Statistik akan memberi naratif apa yang berlaku, kita dapat merancang dengan lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.