Program sarapan percuma bermula 20 Jan di 100 sekolah

Program sarapan percuma bermula 20 Jan di 100 sekolah

Ia melibatkan seramai 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.

PUTRAJAYA:
Program Sarapan Percuma (PSP) fasa pertama akan mula dilaksanakan pada 20 Jan 2020 di 100 sekolah rendah, menurut Kementerian Pendidikan.

Ia melibatkan seramai 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.

“Waktu pelaksanaan PSP adalah antara 7 hingga 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan 1 hingga 4 petang bagi persekolahan sesi petang mengikut ketetapan pengurusan sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.

Pemilihan sekolah bagi fasa pertama dibuat berdasarkan kepada sekolah yang mempunyai peratus murid golongan B40 yang tertinggi dan turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Pemilihan sekolah juga berdasarkan jumlah bilangan sekolah yang melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dalam setiap negeri yang meliputi semua lokasi iaitu bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Pelaksanaan ini juga turut mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan yang memperuntukkan seorang pegawai sains pemakanan bagi setiap daerah untuk memberi khidmat nasihat kepada sekolah berkaitan menu PSP.

“Bagaimanapun, kebenaran daripada ibu bapa diperlukan bagi mendapatkan persetujuan dan maklumat penting kesihatan murid seperti alahan kepada makanan tertentu supaya menu alternatif dapat disediakan,” katanya.

Kementerian juga merancang program itu diperluaskan kepada semua 7,776 sekolah rendah dan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 2.7 juta murid.

Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada peruntukan yang diterima dan kesediaan pihak kantin dan sekolah.

Menurut kementerian, pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan supaya makanan yang dibekalkan berkualiti bagi mencapai impak yang disasarkan.

“Kajian keberkesanan program akan dilaksanakan dan akan dibentangkan untuk tujuan penambahbaikan program dari semasa ke semasa,” katanya.

Kementerian berkata PSP di sekolah rendah merupakan inisiatif terbaru untuk menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.