
Penyakit kudis buta atau lebih dikenali sebagai ‘Scabies’, adalah sejenis jangkitan parasit manusia yang disebabkan oleh sejenis kutu yang diberi nama Sarcoptes scabiei.
Lebih tepat lagi, kutu yang membenamkan dirinya ke dalam kulit manusia dan mengakibatkan kudis buta ini adalah kutu betina spesis Sarcoptes scabiei, dan penyakit ini boleh berjangkit dari satu individu kepada individu yang lain (melalui pemindahan kutu).
Kutu ini juga bukanlah unik untuk manusia kerana ianya juga mampu menyebabkan penyakit kudis buta kepada binatang-binatang domestik seperti anjing dan kucing peliharaan, dan juga binatang liar seperti babi hutan, beruang Koala dan juga mawas.
Kutu Sarcoptes scabiei ini mula dikenal pasti sebagai agen mikroskopik yang menyebabkan keadaan gatal-gatal pada badan manusia, pada tahun 1687.
Apa yang lebih menarik, penemuan yang dibuat oleh dua ahli biologi dari Itali ini merupakan permulaan kepada cabang pengetahuan dan kefahaman peradaban manusia, tentang agen-agen mikroskopik sebagai pembawa dan penyebab penyakit dalam manusia.
Kitaran hidup kutu ini bermula dengan kutu betina yang bunting akan membenamkan dirinya ke bahagian bawah lapisan atas kulit manusia (Stratum corneum).
Kutu-kutu betina yang bunting ini kemudiannya akan menyemai telur-telur mereka di kawasan yang telah ia gali (sekitar dua hingga 3 telur disemai setiap hari).
Seekor kutu betina mampu untuk menyemai sehingga 30 biji telur secara keseluruhan dan setelah lengkap proses ini, kutu betina ini akan mati di dalam ‘terowong kulit’ yang telah ia gali.
Setelah tempoh sekitar 10 hari, telur ini akan menetas menjadi larva, bergerak-gerak di dalam kulit, bertukar ke fasa “nymph” sebelum mereka matang menjadi kutu dewasa.
Kemudiannya, kutu-kutu yang telah dewasa ini akan terus tinggal dalam kulit manusia untuk tempoh tiga hingga empat minggu lagi.
Beban penyakit kudis buta
Penyakit kudis buta ini merupakan antara penyakit dermatologi (kulit) yang paling lazim di dunia, khususnya dalam negara-negara yang membangun dan negara-negara dunia ketiga.
Pada satu-satu masa, dianggarkan seramai 130 juta manusia menghidap keadaan ini.
Kudis buta ini mampu berlaku dan menjangkiti sesiapa sahaja namun ianya lebih tertumpu dalam negara-negara tidak membangun yang mempunyai iklim tropika yang panas, khususnya dalam kanak-kanak kecil dan golongan tua dalam komuniti-komuniti miskin di negara-negara tersebut.
Walaupun ianya bukanlah masalah yang semestinya disebabkan oleh kurangnya penjagaan kebersihan, taburan kes kudis buta lazimnya berlaku dalam populasi yang hidup secara beramai-ramai, sesak dan kurang bersih.
Peranan kutu dalam menyebabkan penyakit kudis buta
Apabila kutu betina yang bunting ini membenamkan dirinya ke dalam lapisan atas kulit manusia, tindak balas alahan akan berlaku terhadap protein-protein kutu ini sekitar 30 hari daripada titik masuk kutu-kutu betina ini.
Simptom-simptom tindak balas alahan inilah yang sering dikaitkan sebagai simptom jangkitan kudis buta iaitu:
- Rasa gatal – Rasa gatal ini merupakan simptom utama yang dikaitkan dengan jangkitan kutu Sarcoptes scabiei dan ianya akan merasa seperti lebih teruk di waktu malam dan juga dalam keadaan atau cuaca yang panas. Namun yang demikian, berbanding dengan kanak-kanak kecil yang dijangkiti, simptom rasa gatal ini didapati kurang berlaku dalam golongan warga tua yang menghidap jangkitan yang sama. Apabila sering digaru kawasan-kawasan yang gatal ini, ianya mampu berubah menjadi nodul, khususnya di bahagian sekitar kemaluan dan buah dada.
- Jejak kutu (Burrows) – Jejak kutu ini boleh dilihat pada bahagian kulit sekitar celah-celah jari, celah-celah jari kaki, bahagian pergelangan tangan, siku, punggung dan juga sekitar bahagian kemaluan. Jejak kutu ini adalah hasil galian kutu dewasa dan ianya mirip garisan lurus atau berbentuk ‘S’.
- Ruam dan Gelembung – Ruam dan gelembung ini juga boleh didapati di kawasan yang sama dengan jejak-jejak kutu dan ianya lebih kerap dilihat dalam kanak-kanak kecil. Ruam dan gelembung ini boleh mirip gigitan nyamuk atau serangga, yang telah membengkak. Untuk kanak-kanak yang mengalami masalah sistem imun yang lemah, jejak-jejak kutu dan juga ruam dan gelembung ini boleh berlaku di kawasan kulit muka dan kepala.
Memandangkan simptom-simptom ini adalah kesan tindak balas alahan badan terhadap protein-protein pada kutu tersebut, sekiranya anda dijangkiti semula dengan kutu ini di masa hadapan, simptom-simptom kudis buta akan berlaku dengan lebih awal, dalam lingkungan 1 hari hingga 4 hari daripada titik mula kutu membenamkan dirinya ke dalam kulit.
Terdapat juga sejenis variasi klinikal kudis buta yang jarang berlaku, disebut sebagai “crusted scabies” (kudis buta berkerak).
Variasi ini lazimnya berlaku dalam pesakit-pesakit yang tua atau yang mempunyai keadaan yang menyebabkan sistem imun mereka menjadi lemah, termasuklah mereka yang menghidap Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS) dan juga mereka yang menjalani rawatan kemoterapi untuk penyakit kanser.
Ia seperti jangkitan kutu yang sangat banyak (dalam jutaan kutu) menyebabkan kerak pada keseluruhan kulit yang lazimnya, tidak bersifat gatal.
Pentingnya untuk dikenal pasti golongan-golongan yang menghidap variasi ini adalah kerana mereka merupakan sumber jangkitan dan jangkitan semula kepada orang sekeliling mereka dan juga komuniti yang didiami.
Rawatan untuk penyakit kudis buta
Rawatan untuk penyakit ini membabitkan penggunaan ubat dan juga pencegahan jangkitan semula.
Ubat yang sering digunakan dalam rawatan kudis buta adalah ubat topikal (ubat sapuan pada kulit).
Ubat sapuan utama yang digunakan untuk rawatan jangkitan ini adalah losyen atau krim Premethrin.
Losyen atau krim Premethrin ini adalah ubat pilihan di seluruh dunia kerana keberkesanannya dalam merawat dan juga dalam mencegah jangkitan baru.
Sebagai langkah pencegahan, orang yang berhubung rapat dengan pesakit (contohnya ahli keluarga yang tinggal dalam satu rumah) juga perlu dirawat bersama.
Menurut Garis Panduan Pengurusan Kudis Buta Dalam Orang Dewasa Dan Kanak-Kanak, berikut adalah cara-cara yang tepat untuk menggunakan ubat-ubat topikal kudis buta (ubat topikal 5% Permethrin, 12.5% dan 25% Benzyl Benzoate):
Pesakit perlu mandi dengan air suam atau mandi menggunakan sabun dan keringkan badan sebelum menggunakan ubat.
Mereka juga perlu memakai pakaian, cadar, dan tuala yang bersih.
Ubat topikal 12.5% atau 25% Benzyl Benzoate perlu disapu untuk 24 jam. Manakala bagi 5% Permethrin, ubat perlu disapu untuk 8 jam iaitu sapu pada waktu malam dan biarkan semalaman.
Ubat perlu disapu pada seluruh bahagian kulit dari leher ke bawah. Sebab utama rawatan tidak berkesan kerana ubat tidak disapu dengan betul.
Pastikan ubat disapu pada semua bahagian pelipat termasuk celah jari tangan dan kaki, bahagian alat sulit, pusat, dan ketiak.
Pastikan kuku dipotong, dan sapu ubat dengan nipis pada bahagian bawah kuku menggunakan berus kuku.
Untuk bayi pula, sarung tangan perlu dipakai bagi mengelakkan ubat hilang dari kulit dan termakan ubat.
Sekiranya rawatan gagal atau pesakit dalam kumpulan berisiko, bahagian kulit yang perlu disapu adalah termasuk muka dan kepala (elakkan mata dan mukosa).
Pastikan ubat disapu semula dengan serta merta sekiranya ubat telah dibasuh atau hilang dari kulit (contohnya membasuh tangan).
Apabila masa yang diperlukan telah cukup, basuh ubat menggunakan sabun dan mandi dengan air suam.
Pakaian dan cadar yang bersih perlu digunakan selepas rawatan.
Bagi pesakit yang bekerja, mereka boleh kembali bekerja 24 jam selepas rawatan pertama.
Komplikasi jika tidak dirawat
Seperti keadaan kesihatan dan penyakit-penyakit lain, sekiranya dibiarkan tidak dirawat, penyakit ini juga mampu bertambah keruh dan komplikasi boleh terjadi.
Sekiranya penghidap menggaru bahagian-bahagian badan yang gatal, kesan berterusan tindakan ini akan menyebabkan integriti kulit terganggu dan jangkitan bakteria sekunder boleh mengambil tempat.
Antara keadaan kesihatan yang selalu berlaku akibat ini adalah Impetigo, jangkitan kulit akibat infiltrasi bakteria Streptococcus pyogenes dan juga Staphylococcus aureus.
Dari sini, jangkitan daripada bakteria Streptococcus boleh menyebabkan pelbagai penyakit-penyakit lain seperti jangkitan invasif spesis Streptococcus, demam “Scarlet fever”, streptococcal toxic shock syndrome; dan juga keadaan-keadaan autoimmun seperti demam reumatik.
Penyakit kudis buta akibat jangkitan kutu Sarcoptes scabiei ini merupakan sejenis jangkitan parasit yang lazim bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.
Pentingnya untuk kita menyedari tanda-tanda dan simptom-simptom jangkitan ini dan memahami profil pembiakan dan penularan kutu ini.
Kegagalan untuk mengenal pasti simptom dan tanda jangkitan akan menyebabkan berlakunya pelengahan dalam mendapatkan rawatan, ataupun kemungkinan untuk tidak mendapatkan rawatan langsung.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]