
Beliau berkata peruntukan yang ingin dipohon itu banyak tetapi tidak memaklumkan jumlahnya secara terperinci.
“Pihak ATM tidak mempunyai masalah untuk memberikan rawatan buat warga polis sekiranya mendapat peruntukan daripada kerajaan.
“InsyaAllah saya akan berunding dengan kerajaan supaya warga polis mendapat perkhidmatan yang baik daripada hospital tentera,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat sempena persaraan Panglima ATM, Zulkifli Zainal Abidin.
Pada 23 Disember lalu, Hamid mendakwa Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman berada dalam keadaan daif seperti “dianak tirikan” kerana beberapa kemudahan anggotanya masih kurang.
Beliau juga merayu kepada Putrajaya memberi perhatian kepada pasukan polis dan dapat menyediakan beberapa fasiliti seperti dewan, lot parkir dan padang kawad di Bukit Aman.
Hamid turut membandingkan kemudahan diperoleh ATM yang ketika ini mempunyai fasiliti lebih baik berbanding polis seperti mempunyai hospital, bangunan canggih dan mempunyai maktab tentera sendiri.
Dalam masa yang sama, Hamid berkata ATM sebelum ini mengariskan beberapa halangan tertentu bagi warga polis mendapat rawatan.
Beliau berkata ATM turut menawarkan tempat kepada warga polis menyambung pengajian mereka di pusat pengajian milik mereka.
Sementara itu, Zulkifli berkata selain peruntukan, hospital tentera juga perlukan penambahbaikan infrastruktur dan pihaknya sedia memberi perkhidmatan perubatan kepada warga polis sekiranya beberapa kekangan dapat diatasi.
Beliau berkata jika kerajaan bersetuju, bukan sahaja peruntukan, kelengkapan juga perlu ditambah baik.
Zulkifli berkata ATM dan polis sentiasa mempunyai hubungan yang baik kerana ia penting bagi menjamin keselamatan negara.