
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kepada FMT, hari ini.
“Kesiapsiagaan kecemasan kesihatan awam disaran WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) di bawah Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR) sudah dilaksanakan. Hanya untuk Sabah dan ‘administrative’,” katanya.
Sebelum ini, WHO menyarankan Malaysia dan 3 negara Asia Selatan lain melaksanakan Kesiapsiagaan Kecemasan Kesihatan Awam susulan wabak polio yang tercetus pada tahun ini.
WHO berkata, jawatankuasa terlibat bimbang dengan peningkatan kes virus polio liar jenis 1 (WPV1) di peringkat global daripada 28 kes 2018 kepada 113 kes setakat 11 Disember 2019 lalu.
“Empat negara, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Filipina) disaran isytihar Kesiapsiagaan Kecemasan Kesihatan Awam secara rasmi selepas kes polio tercetus tahun ini.
“Jika sudah dilaksanakan, jawatankuasa cadangkan ia dipanjangkan kepada 3 bulan kerana ia mungkin ada risiko untuk merebak lagi,” katanya.
Difahamkan pelan kecemasan itu dilaksanakan secara berperingkat hingga selesai di semua kawasan di Sabah.
Sebelum ini, Noor Hisham memberitahu semua kanak-kanak yang tercicir imunisasi diberi suntikan vaksin polio termasuk bukan warganegara.