Belum ada kerangka konkrit penubuhan majlis media, kata timbalan menteri

Belum ada kerangka konkrit penubuhan majlis media, kata timbalan menteri

Kabinet pada pertengahan bulan ini secara dasarnya bersetuju dengan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Majlis Media Malaysia berperanan sebagai sebuah badan kawal selia kendiri yang boleh meletakkan standard tinggi terhadap komuniti media untuk membantu membina dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada industri berkenaan.
PETALING JAYA:
Kerajaan masih belum mempunyai kerangka konkrit mengenai badan kebangsaan untuk menjaga hal-hal berkaitan media walaupun sudah mempunyai perancangan ke arah itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

“Kami merancang menubuhkan sebuah majlis media, tetapi kami belum mempunyai kerangka konkrit mengenainya. Perbincangan mengenai persiapan ke arah itu sedang berlangsung dengan semua pihak berkepentingan,” katanya di New Delhi seperti dipetik Bernama.

Bernama melaporkan Hanipa berada di New Delhi untuk mengetahui lebih lanjut fungsi Suruhanjaya Undang-Undang India memandangkan Malaysia kini dalam usaha menubuhkan sebuah panel pembaharuan perundangan yang bebas.

Menurut Hanipa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta penasihat media dan komunikasi perdana menteri Datuk Abdul Kadir Jasin menerajui inisiatif itu.

Mandat agensi tersebut akan ditentukan selaras dengan perkembangan terkini dalam sektor media.

Hanipa berkata beberapa bentuk media lama sudah “lapuk” dan Malaysia perlu menerima teknologi dan kaedah baharu untuk menyebarkan maklumat.

Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dikemukakan pelbagai organisasi media pada Jun lalu dan disambut baik oleh Gobind.

MMM adalah sebuah badan kawal selia kendiri yang boleh meletakkan standard tinggi terhadap komuniti media untuk membantu membina dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada industri berkenaan.

Pertengahan bulan ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata Kabinet secara dasar bersetuju dengan penubuhan MMM.

Mesyuarat pertama mengenai majlis itu sepatutnya diadakan pada minggu lalu, namun tiada sebarang pengumuman mengenai keputusan mesyuarat tersebut dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.