
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata cadangan berkenaan penubuhan badan tunggal untuk mengawal pintu masuk negara itu telah diterima dan kerajaan menyarankan penubuhannya dilakukan secepat mungkin.
“Kalau boleh dalam tempoh 2 tahun akan datang perkara berkaitan penubuhan agensi sempadan dapat diselesaikan dan penubuhannya dimuktamadkan.
“Perkara ini sudah dibincangkan dengan ketua setiausaha kementerian dalam degeri dan saya akan menggesa menyegerakan penubuhannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Muhyiddin berkata ketika ini pengurusan sempadan negara dikendalikan kira-kira 28 badan, pertubuhan, persatuan dan syarikat yang dilihat menjadi antara faktor kesesakan dan kelewatan dalam pengurusan hal ehwal sempadan negara.
Ujarnya, cadangan penubuhan badan tunggal itu akan melalui proses kajian dalam tempoh 6 hingga 12 bulan oleh perunding yang akan dilantik Mac depan dengan mengambil kira semua keperluan meliputi kewangan, sumber manusia, logistik dan akta berkaitan.
Berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan pada 3 Julai lepas, KDN yang dipertanggungjawabkan sebagai urus setia perlu melaksanakan kajian meliputi 3 domain utama iaitu darat, udara dan laut dengan fokus awal kepada domain darat.
Sehubungan itu, KDN sedia mempelajari pengalaman Amerika Syarikat dalam soal penubuhan agensi tunggal untuk mengawal pintu masuk negara sepertimana yang turut dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Singapura dan Australia.
Muhyiddin berkata jika ditubuhkan, badan tunggal berkenaan berperanan untuk meningkatkan penyelarasan proses pemeriksaan secara efisyen melalui “single clearance mechanisme” dalam mempertingkatkan aspek keselamatan disamping memudah cara perdagangan atau trade facilitation.
Kesungguhan kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan kawalan sempadan negara turut dibuktikan apabila hal itu diangkat menjadi 1 daripada teras khusus dalam Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Oktober lalu.
Tumpuan KDN pada 2019 juga terarah kepada mengurus serta menangani isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Baharu, Johor yang masih berlarutan.
Bagi tujuan itu, Muhyiddin berkata Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan Tambak Johor ditubuhkan kerajaan dengan beliau sendiri bertindak selaku pengerusi.
Jawatankuasa tersebut telah mengemukakan 23 inisiatif bagi mengatasi masalah kesesakan yang akan dilaksanakan dalam 3 fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Antaranya mengubah suai dan menaik taraf bangunan CIQ, menambah peralatan untuk sistem kawalan pintu masuk seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-Bike serta memobilasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter yang lebih sesak dan pembukaan laluan kontra di laluan kereta ketibaan.
Komitmen dalam menangani isu permasalahan rakyat itu diserlahkan apabila kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM85 juta bagi tujuan tersebut seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, 11 Oktober lalu.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut melanjutkan pelaksanaan operasi 24 jam bagi kenderaan berat dan kargo di CIQ Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Dannok, Songkhala selama 9 bulan lagi sehingga 17 Jun tahun hadapan.
Pelanjutan operasi 24 jam yang awalnya dijalankan dalam tempoh percubaan selama 3 bulan bermula 18 Jun hingga 17 Sept yang mencipta sejarah bagi 2 negara berjiran itu dijangka akan meningkatkan pelaburan asing, memantapkan usaha perindustrian dan merancakkan proses pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.
Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam yang dibina dengan kos RM385 juta dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos lalu dilengkapi pagar keselamatan jenis “anti-climb” di keseluruhan kawasan dan diawasi oleh kira-kira 300 unit kamera litar tertutup berdefinisi tinggi, manakala mesin pengimbas kargo turut dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini.
Muhyiddin berkata KDN juga tidak menolak kemungkinan menggunakan dron di kawasan perairan Sabah dan kawasan sempadan, bagi menangani isu-isu keselamatan.
Beliau berkata kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) banyak membantu mengawal sempadan daripada dicerobohi tetapi jarak sempadan di perairan Sabah dengan negara jiran yang terlalu panjang memerlukan tindakan yang lebih efisyen dilakukan di masa hadapan.
Penggunaan dron bukan sesuatu perkara asing kerana teknologi tersebut telah digunakan oleh pihak berkuasa Thailand dalam mengawasi sempadan negara itu.
Muhyiddin berkata cadangan penggunaan dron untuk mengawal sempadan masih di peringkat perbincangan dan berharap terdapat peruntukan disediakan kerajaan bagi membolehkan KDN melakukan ujian rintis di kawasan-kawasan yang penting dan kritikal di sempadan negara.