Pengutip sampah bangga mampu hantar anak ke universiti

Pengutip sampah bangga mampu hantar anak ke universiti

Pekerja Alam Flora hampir 20 tahun, Nor Hamdan Mat berkata, jenis pekerjaan tidak penting kerana syarikat itu menawarkan kerja stabil dan kebajikan baik.

Pekerja Alam Flora Ismail Ahmad, Mohd Asri Yusoff dan Nor Hamdan Mat bersiap sedia memulakan tugas.
KUALA LUMPUR:
Walaupun hanya bekerja sebagai pengutip sampah, mereka berbangga dapat menyara keluarga dan menghantar anak melanjutkan pelajaran ke universiti.

Itulah sumber pendapatan bagi pekerja Alam Flora yang melakukan kerja kotor, susah dan memenatkan selama 8 jam sehari di lorong belakang serta tepi jalan sekitar ibu kota.

Ismail Ahmad, Nor Hamdan Mat dan Mohd Asri Yusoff perlu membersihkan sampah yang dihasilkan 1.7 juta penduduk dengan ribuan pejabat, restoran, kedai dan rumah, 2 kali sehari.

Kerja mereka bertambah sukar dan rumit disebabkan individu tiada kesedaran sivik yang membuang sampah sarap, termasuk puntung rokok di merata tempat.

Sampah dalam tong dibuang ke dalam lori sampah.

Selain mengutip sampah daripada tong sampah, mereka juga perlu membersihkan kawasan dalam jarak 3m daripada tong sampah, jalan raya, longkang serta bangkai haiwan di jalanan.

Asri yang memandu lori sampah, akan turun membantu rakan sekerjanya mengutip sampah, apabila perlu.

Ismail, 59, berkata beliau biasanya memulakan kerja pada 5.30 pagi ketika kebanyakan warga kota masih tidur.

“Kadangkala saya tertidur sebelum berita petang disiarkan, tetapi itu mungkin kerana saya semakin tua sekarang.”

Pekerja Alam Flora perlu membersihkan kawasan dalam jarak 3m daripada tong sampah.

Bapa kepada 4 anak dari Kerinchi itu bersyukur dapat menyara kehidupan keluarganya dan memastikan anaknya mendapat pendidikan terbaik berdasarkan kemampuannya.

“Tiga anak saya belajar di universiti,” katanya dengan bangga.

Seorang lagi pekerja Alam Flora hampir 20 tahun, Hamdan berkata, jenis pekerjaan tidak penting kerana syarikat itu menawarkan kerja stabil dan kebajikan baik.

“Kerja ini bukannya teruk sangat dan ia bukan kerja tidak bermaruah, ia masih pendapatan halal.”

Hanya segelintir orang yang menghargai usaha mereka, tetapi mereka tidak kisah kerana perkara lebih penting ialah anak dapat menamatkan pelajaran di universiti dan mempunyai masa depan cerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.