Bagaimanapun, dengan kebaikan dan keprihatinan pembaca FMT, pihak berkuasa Pulau Pinang dan orang luar, keluarga dari Balik Pulau itu akhirnya dapat meraikan Aidilfitri dengan cukup meriah, berbeza dan paling meriah berbanding tahun sebelumnya.
Kisah keluarga empat beranak itu diketengahkan FMT selepas menemui mereka dalam keadaan serba daif dan kekurangan selepas tulang belakang keluarga yang juga pemandu lori sampah, Rosman Darus terbabit kemalangan dan cedera parah.

Mereka ketiadaan wang, malah langsung tidak mampu membeli walau sebungkus mi segera dan terpaksa mengetepikan keperluan baju baharu untuk sambutan raya kerana terpaksa membeli ubat-ubatan untuk Rosman melalui wang RM350 sebulan yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kehidupan keluarga ini bagaimanapun berubah menjelang sambutan Aidilfitri lalu selepas kisah mereka mendapat perhatian pembaca di seluruh negara.

Isteri Rosman, Suzana Mansor, berkata, mereka akhirnya mampu membeli pakaian baharu untuk anak perempuan berusia lima dan lapan tahun.
“Ramai orang dari seluruh negara menelefon dan menyatakan keinginan untuk membantu. Mereka juga tanya apa yang saya perlu tetapi saya terlalu takut untuk meminta. Saya tidak biasa dengan kemurahan yang melimpah ruah begini.
“Sambutan Hari Raya tahun ini adalah kenangan paling bermakna untuk kami sekeluarga,” kata Suzana.
Suzana berkata, terlalu banyak sumbangan diterima dan tidak henti-henti wang didepositkan dalam akaun banknya sehingga pihak bank terpaksa membekukan akaun hampir sehari.
Katanya, dia menangis dan hampir tidak percaya bila melihat baki akaun bank hampir mencecah RM10,000.

Pada Hari Raya pertama, mereka membeli kipas, peti sejuk, mesin basuh dan almari. Anak-anak juga dibelikan basikal buat pertama kali, antara barangan yang sekian lama mereka idamkan.
Suzana yang menjual ayam berkata, juadah pada Hari Raya pertama adalah sambal udang dan sayur serta masakan ayam dan ikan.
Katanya, sebelum ini mustahil untuk mereka memasak masakan panas kerana tidak mempunyai peti sejuk yang sempurna.
Sebelum ini, dia menggunakan peti sejuk beku terpakai yang ditemui di tempat pembuangan sampah yang kemudian dibaiki oleh suaminya untuk digunakan.

“Anak perempuan saya kata, jika kami jual 5kg ayam pun, belum tentu kami akan dapat menikmati hidangan sebegini,” katanya. Sebelum ini Suzana memperoleh upah RM2 bagi setiap ayam yang dijual.
Suzana berkata, dengan wang yang diperoleh melalui sumbangan orang ramai itu, dia mahu membuka gerai jagung rebus berhampiran balai polis Sungai Pinang kira-kira 100m dari rumahnya yang terletak dalam ladang kelapa sawit.
Katanya, dia juga bercadang membeli sebuah kereta terpakai berharga RM3,500 yang sudah berusia 26 tahun, kerana dia perlu menghantar suami berulang alik ke Hospital Pulau Pinang untuk sesi fisioterapi.
Tambahnya lagi, kereta itu juga akan memudahkan mereka berulang alik dengan lebih selamat, khususnya bila memerlukan kenderaan untuk memasarkan ayam ke pasar berhampiran.
“Suami saya dah tak sabar-sabar nak bekerja semula walaupun buku lalinya masih bengkak. Dia juga ada tanya saya, boleh tak dia kerja potong rumput. Saya suruh dia rehat dulu, tapi dia tak nak dengar,” katanya.
Suzana juga berterima kasih kepada Ketua Pertubuhan Kebajikan Wanita Prihatin Pulau Pinang, Sharifah Nooriati Syed Amiruddin yang banyak membantu selama ini selain Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang.
“Saya juga nak ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pembaca FMT dan berharap semuanya dipermudahkan rezeki oleh Allah,” katanya.