Pengutip sampah belasah isteri hingga mati

Pengutip sampah belasah isteri hingga mati

Mangsa telah menghina suaminya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mengutip sampah

abdul-aziz-ali_mayat_600

PETALING JAYA:
Seorang isteri menemui ajal ditangan suaminya gara-gara bermulut celupar selepas menghina pekerjaan teman hidupnya itu yang merupakan seorang pengutip sampah.

Mangsa telah dipukul dengan teruk dibeberapa bahagian badan hingga mengalami kecederaan pada pangkal lengan kanan, peha kanan dan kiri, pangkal kaki kiri dan kanan serta kesan calar di leher.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata, mangsa meninggal dunia di sebuah klinik di Sungai Pelek dekat Sepang pada Sabtu.

Menceritakan mengenai kejadian itu Abdul Aziz berkata, suspek yang berusia 34 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pada mulanya mabuk bersama isterinya, 33, dan seorang lagi rakan kira-kira jam 10 malam.

“Tiba-tiba suspek memarahi dan memukul isterinya hingga pengsan.

“Rakan suspek cuba halang suspek, namun gagal selepas dia ditolak dan dihalau selain diingatkan agar tidak mencampuri urusan rumah tangganya,” katanya yang dipetik dari akhbar Sinar Harian hari ini.

Polis turut menemui sehelai baju T yang terdapat kesan koyak dan tompokan darah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.