
Alireza Firouzja, pemain junior kedua terhandal di dunia, menjadi atlet Iran kedua dalam beberapa bulan ini yang cuba melepaskan kerakyatannya susulan tekanan ke atas atlet negara itu untuk menarik diri daripada berdepan peserta Israel.
Oktober lalu, Iran dilarang menyertai perlawanan judo antarabangsa oleh badan dunia sukan itu sehingga ia boleh memberi jaminan atletnya dibenarkan bersaing dengan peserta Israel.
Langkah itu menyusul selepas seorang peserta Iran berkata, beliau ditekan untuk menarik diri daripada pertandingan judo bagi mengelak atlet Israel.
“Firouzja sudah membuat keputusan dan memberitahu kami, beliau mahu menukar kewarganegaraannya,” kata Presiden Persekutuan Catur Iran, Mehrdad Pahlavanzadeh kepada agensi berita Tasnim.
“Firouzja kini tinggal di Perancis…dan mungkin mahu bermain untuk Perancis atau Amerika Syarikat,” kata Pahlavanzadeh kepada agensi berita ISNA.
Firouzja mahu menyertai satu pertandingan dunia di Rusia walaupun Iran memutuskan tidak mengambil bahagian, kata Pahlavanzadeh tanpa merujuk Israel.
Firouzja tidak dapat dihubungi untuk mengulas keputusannya.
April lalu, media Iran melaporkan Firouzja enggan menentang seorang pemain Israel dalam sebuah pertandingan di Jerman.
Pegawai politik dan sukan Iran secara terbuka menggesa atlet mereka tidak bersaing dengan Israel sebagai tanda protes terhadap musuh ketat negara itu dan bersolidariti dengan warga Palestin.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berulang kali memuji atlet yang enggan bersaing dengan peserta Israel.
Sejak Revolusi Islam pada 1979, Iran enggan mengiktiraf Israel.