Malaysia cari peluang ‘eksport’ graduan perbankan Islam ke luar negara

Malaysia cari peluang ‘eksport’ graduan perbankan Islam ke luar negara

Timbalan menteri kewangan berkata, sektor perbankan Islam berkembang pesat di pentas dunia dan negara yang tidak ramai umat Islam turut berebut menjadi hab global bidang itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah.
KUALA LUMPUR:
Malaysia sedang mengintai peluang menghantar graduan perbankan Islam tempatan untuk berkhidmat di luar negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah.

Melihat pencapaian Malaysia yang dinobatkan peneraju global dalam perbankan Islam, beliau berkata, negara berupaya mengguna pakai “bakat” itu di negara yang mampu menjana peluang pekerjaan besar.

“Kita memang dilihat terkehadapan (dalam perbankan Islam) dan kita nak mengekalkan kedudukan ini.

“Sektor ini mampu berikan peluang pekerjaan yang besar dan ramai graduan kita dalam perbankan Islam, takaful yang ada ini bukan saja untuk kita gunakan dalam negara, bahkan kita sedang rancang untuk eksport bakat ini untuk diguna di negara lain,” katanya dalam program “Bicara Naratif mengenai Pencapaian Kementerian Kewangan Sepanjang 2019” yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, sektor perbankan Islam berkembang pesat di pentas dunia dan negara yang tidak ramai umat Islam turut berebut menjadi hab global bidang itu.

“Contoh di London (United Kingdom), kita tahu mereka merupakan hab kewangan konvensional, tapi mereka juga lihat peluang yang ada ini dan bertindak untuk jadi hab kewangan Islam, melihat kepada potensi yang ada,” katanya yang mengetuai Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) di bawah Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan pada Ogos lepas mengumumkan penubuhan JKKI untuk terus mempromosi dan menggalakkan pembangunan kewangan Islam, selain mengukuhkan hala tuju mempromosikan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, terutamanya dalam pasaran sukuk.

Sementara itu, Amiruddin berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah menyatakan mereka boleh menunaikan semua janji dalam manifesto pada pilihan raya umum ke-14 lalu secara sekaligus ataupun serentak dalam masa singkat.

“Yang dapat kita lakukan secara cepat dan pantas, kita akan lakukan. Contohnya janji kita untuk menghapuskan GST (cukai barang dan perkhidmatan) yang ketika itu antara rungutan cukup kuat di kalangan rakyat menyebabkan kos sara hidup meningkat.

“Itu kita berjaya dan dapat kita laksanakan dengan segera dan cepat tanpa kita mengeluarkan belanja, cuma bila kita laksanakan itu sebenarnya kerajaan hilang pendapatan,” katanya sambil menambah kerajaan berusaha mencari hasil alternatif bagi menggantikan pendapatan yang hilang itu.

Katanya, isu seperti pemansuhan tol bukan mudah kerana kerajaan perlu membuat bayaran kepada pelaburan yang dilakukan pemegang konsesi.

“Bila kita hentikan, kita perlu bayar pampasan dan sebagainya, jadi itu semua melibatkan implikasi kewangan yang perlu kita lihat balik dengan lebih terperinci.

“Tetapi hasrat dan janji kita untuk mengurangkan, bukan menghapuskan…mengurangkan tol itu memang sedang rancak kita lihat kemungkinannya, insya Allah apabila kajian-kajian ini selesai, melihat dari segi implikasi kewangan dan sebagainya.”

Sementara itu, Amiruddin berkata, Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan kerajaan persekutuan apabila tumpuan khas diberikan terhadap 2 negeri itu dalam Belanjawan 2020.

“Projek bekalan air luar bandar, projek untuk memastikan bekalan elektrik sampai ke kawasan pedalaman, ini memang kita teruskan.

“Kita juga beri bajet khas untuk tujuan pembaikan sekolah daif di Sabah, Sarawak untuk memastikan anak-anak kita dapat belajar lebih selesa dan kondusif.”

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak antara negeri yang mendapat komponen perbelanjaan besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.