
Negara perlu membayar harga yang tinggi kerana komen beliau, kata Wee di laman Facebooknya hari ini.
Wee berkata, sebagai pemimpin kerajaan yang paling tua di dunia, Mahathir mempunyai pengalaman politik yang banyak, tetapi pada masa sama terkenal dengan sikap suka bergaduh dengan kuasa besar dunia.
“Semasa pemerintahan awal beliau sebagai perdana menteri selama 22 tahun dahulu, beliau mungkin dilihat sebagai jurucakap negara dunia ketiga. Bagaimanapun dunia hari ini sangat berbeza daripada keadaan yang berlaku 20 tahun lalu,” katanya.
Wee berkata, ketidaktentuan ekonomi global pasti akan menjejaskan ekonomi Malaysia.
“Kerajan harus mengelakkan sebarang perbalahan dengan negara besar, sebaliknya memfokus kepada pembangunan ekonomi.
“Dengan keadaan semasa dunia antarabangsa hari ini, hanya dengan mengekalkan hubungan diplomatik yang mesra dengan negara lain, kita boleh mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk negara kita.”
Pada Sept tahun ini Mahathir menimbulkan kemarahan India apabila mengulas mengenai konflik Kashmir yang menyebabkan penurunan eksport minyak sawit ke negara itu sebanyak 76% serta menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri minyak sawit, terutamanya 600,000 pekebun kecil.
Semasa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang baru berakhir, beliau sekali lagi mengkritik India berhubung undang-undang kewarganegaraannya yang baru dan telah mendapat protes keras daripada kerajaan negara terbabit.

Menurut Wee, duta Malaysia ke India turut dipanggil ke Kementerian Luar Negeri India bagi mendapatkan penjelasan.
“Walaupun begitu, Tun M tetap yakin bahawa dia betul dan ini membimbangkan rakyat Malaysia.”
Wee berkata, sejak menjadi perdana menteri buat kali kedua, timbul ketegangan dalam hubungan 2 hala Malaysia dengan China, apabila Mahathir berbeza pandangan dengan perdana menteri negara itu Li Keqiang mengenai konsep kolonialisme era baru.
Beliau mengingatkan Mahathir bahawa hubungan diplomatik antara Malaysia dan China masih di peringkat pemulihan sejak kebelakangan ini.
Wee berkata, Mahathir juga menjejaskan hubungan diplomatik dengan Arab Saudi dengan menjemput pemimpin Iran dan Qatar ke Sidang Kemuncak Kuala Lumpur kali ini.
“Seolah-olah malapetaka diplomatik kita tiada penghujungnya,” kata Wee.
“Rakyat Malaysia sedar bahawa Tun M sering tidak sehaluan dengan Amerika Syarikat dengan rekod kritikan berpanjangan terhadap negara tersebut.
Beliau juga berkata hendak memohon sekatan terhadap presiden AS Donald Trump.
“Kenyataan sedemikian jelas tidak mesra Trump dan pasti mengundang reaksi. Dipercayai AS ketika ini sedang memerhati tindak tanduk Tun M.”
Beliau mengingatkan Mahathir sewaktu menjadi tuan rumah dan perasmi Persidangan NAM pada 2003, beliau menekankan tidak akan mengganggu hal dalaman negara lain.
“Kita juga tidak mahu melihat negara lain campur tangan urusan dalaman kita.
“JIka Tun M terus menyinggung lebih banyak negara lain, generasi muda kita mungkin perlu membayar harga atas apa yang dilakukannya. Apa gunanya menyelamatkan diri sendiri apabila kita sudah kehilangan kawan di seluruh dunia?”