
Ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap menjaga kebersihan kawasan sekitar termasuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya masih rendah walaupun kemudahan disediakan secukupnya.
“Masih ada orang yang beranggapan kerja-kerja pembersihan sampah termasuk pengurusan sisa pepejal tanggungjawab Majlis Perbandaran Kangar (MPK) semata-mata.
“Sikap tidak bertanggungjawab ini perlu segera dikikis bagi mendukung hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara bersih walaupun jumlah sisa pepejal di Perlis rendah berbanding negeri lain iaitu kira-kira 120 tan sehari,” katanya kepada pemberita selepas majlis bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) semalam.
Beliau terkilan dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di tebing Sungai Repoh dan berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan.
“Kawasan itu bukan kawasan kampung, boleh dikatakan kawasan elit bandar Kangar yang menempatkan taman-taman perumahan mewah dan masyarakat berpelajaran.
“Kenapa perkara seperti ini boleh terjadi?” katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, pelbagai program dirancang kerajaan negeri bersama SWCorp Perlis antaranya menahan individu atau kumpulan yang membuang sampah di merata tempat selain menambah papan tanda larangan membuang sampah yang boleh dikenakan denda atau tindakan di beberapa kawasan tumpuan.