
Pengarah Jabatan Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata bot gentian kaca itu ditemui hasil kerja sama pihak berkuasa Thailand di kawasan sungai berhampiran perairan Satun, lapor Berita Harian.
Katanya, kecurian itu dipercayai berhubung kait dengan siri operasi pembanterasan penyeludupan terutama daun ketum di perairan Perlis termasuk tindakan sita beberapa bot milik penyeludup sebelum ini
“Bot bernilai RM150,000 itu sering digunakan kita untuk tugasan risikan dan rondaan.
“Kita percaya sindiket penyeludupan cuba mendapatkan balik bot milik mereka yang kita rampas dan sita dengan menceroboh kawasan jeti itu,” katanya.
Katanya, kerana keadaan di jeti ketika itu surut menyebabkan suspek gagal mendapatkan semula bot mereka yang dirampas membuatkan mereka nekad mencuri bot milik kastam dengan menundanya ke Thailand.
Ismail berkata ketika ditemui bot itu dalam keadaan sempurna tanpa ada sebarang pengubahsuaian, malah masih mempunyai enjinnya asal.
“Kita percaya, penyeludup mempunyai hasrat melakukan pengubahsuaian terhadap sampan itu dan berkemungkinan menjualnya termasuk komponen enjin,” katanya.
Kata Ismail, siasatan dalaman merumuskan kehilangan aset itu tidak melibatkan ‘orang dalam’ sebaliknya lebih kepada tindakan balas dendam oleh kumpulan penyeludup.