Keluarga mahu inkues kehilangan, kematian Nora Anne

Keluarga mahu inkues kehilangan, kematian Nora Anne

Bapa Nora Anne, Sebastien Quoirin mempersoalkan keputusan bedah siasat yang tidak menerangkan bagaimana anak perempuannya ditemui dalam keadaan telanjang.

Remaja Ireland, Nora Anne Quoirin ditemui maut selepas 10 hari dilaporkan hilang dari penginapannya di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ibu bapa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang ditemui maut selepas 10 hari dilaporkan hilang, meminta inkues terhadap kejadian itu, dengan mendakwa terdapat elemen jenayah dalam kes tersebut.

Nora Anne, yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos, ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 km dari resort penginapannya bersama keluarga di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan.

Bedah siasat mendapati gadis itu mati akibat pendarahan gastrointestinal, mungkin disebabkan oleh kelaparan dan tekanan. Pihak berkuasa mengatakan kes itu tiada unsur jenayah.

Bapa Nora Anne, Sebastien Quoirin bagaimanapun memberitahu akhbar tempatan, Irish Independent bahawa keputusan bedah siasat itu tidak menerangkan bagaimana anak perempuannya, yang mempunyai masalah pembelajaran, ditemui dalam keadaan telanjang.

Ibunya, Meabh Quoirin, juga mengatakan bahawa Nora Anne “sangat pemalu” dan “tidak akan melepasi pintu rumah mereka sendiri, apatah lagi bersiar-siar di hutan”.

“Kami bertegas untuk inkues ini diadakan,” Sebastien dipetik sebagai berkata.

“Kami berharap Perancis, kerajaan Ireland dan British akan menyokong kami. Saya fikir ia adalah kewajipan hak asasi manusia dan demokratik untuk mencari kebenaran dan keadilan tentang apa yang berlaku. ”

“Bagi kami, sesuatu yang sangat kompleks berlaku,” tambah Meabh.

“Kami menegaskan dari awal bahawa kami percaya terdapat unsur jenayah terhadap apa yang berlaku. Kami sedang berusaha kerana sukar untuk mendapatkan sumber yang cukup untuk menyiasat dari sudut jenayah.”

Peguam keluarga itu di Malaysia, SN Nair, sebelum ini mengatakan bahawa satu salinan laporan bedah siasat akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diputuskan sama ada terdapat keperluan untuk inkues.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.