
Mungkin anda mula menyedari, kanak-kanak kini semakin lantang bersuara bercakap tentang isu semasa.
Ia berbeza dengan kanak-kanak dulu yang hanya dipimpin ibu bapa dan mengikut segala arahan dan permintaan mereka supaya menjadi orang yang berjaya.
Sebab itulah terdapat kanak-kanak kini yang baru sahaja berusia sembilan tahun ditawarkan PhD di universiti Amerika Syarikat, begitu juga Laurent Simons berusia sembilan tahun dari Amsterdam mencatat rekod memegang ijazah.

Malah ada juga kanak-kanak seperti Siddharth Srivastav Pilli yang kini bekerja sebagai saintis termuda di sebuah syarikat perisian di Hyderabad.
Secara dasarnya mereka jujur apabila bercakap tentang sesuatu isu kerana tiada kepentingan diri mahupun mewakili mana-mana parti politik yang memberi keuntungan pada sesetengah pihak.
Isu politik bukanlah keutamaan mereka, kerana apa yang kanak-kanak ini tahu hanyalah ingin menyelamatkan bumi dan alam sekitar sekaligus menjamin kehidupan yang baik kepada seluruh masyarakat dunia.
Sebab itulah kanak-kanak berusia 16 tahun Greta Thunberg bersuara dengan lantang tentang kerakusan pemimpin politik yang meletakkan kepentingan diri di hadapan daripada alam sekitar yang terancam, akhirnya menyebabkan perubahan iklim yang amat ketara.

Menurut Pakar Perubatan Jasper Healthcare, Lim Geng Yan perkembangan kanak-kanak ini adalah kerana revolusi yang berlaku terhadap kecanggihan dunia teknologi hari ini.
“Ini semua kerana pendidikan dan pendedahan yang berbeza oleh ibu bapa dan masyarakat di sekeliling kita, dulu kita hanya menghantar mereka ke sekolah sahaja untuk menerima pendidikan. Tetapi kini maklumat boleh diakses pada bila-bila masa.
“Sebab itu kanak-kanak seperti Greta sangat peka dengan perubahan iklim pada bumi sehingga mengajak orang ramai untuk berhati-hati dengan ancaman yang mungkin berlaku. Dia kanak-kanak, dia jujur pada setiap tindakan,” katanya kepada FMT.

Tambahnya keberanian Greta membuka mata seluruh rakyat di dunia sehingga dia dipilih sebagai “Person of the Year” untuk 2019 oleh majalah terkemuka Time.
Malah menurut Ketua Editornya, Edward Felsenthal, setiap hujung tahun pihaknya akan memilih seorang individu dari serata dunia yang memberi impak paling hebat dalam mempengaruhi peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun berkenaan.
“Greta telah menjadi suara terbesar bagi isu terbesar yang melanda planet ini dan dia merupakan ikon bagi perubahan generasi dalam budaya kita yang kita dapat lihat di mana-mana, termasuklah kampus di Hong Kong dan dewan kongres Washington,” jelas Edward.

Malah pelakon antara bangsa Leonardo DiCaprio turut menggelarkan Greta sebagai “leader of our time” iaitu pemimpin zaman ini.
Mengulas lanjut, Lim turut berkata dalam perkembangan tersebut terdapat kebaikan dan keburukan terhadap kanak-kanak hari ini yang semakin pintar selaras dengan kecanggihan teknologi yang ada.
“Dalam kepintaran kanak-kanak ini, ada di antara mereka yang mulai menjadi kurang sosial kerana mereka tiada pendedahan, hanya duduk dalam dunia mereka sahaja, belajar dalam bentuk teori dan tidak bercampur dengan sesiapa pun.
“Kita perlu ingat bahawa bukan semua kanak-kanak mampu menjadi seperti Greta, dia sendiri peka dengan persekitaran dan memberi kesedaran kepada dunia, ini satu dalam sejuta,” ujarnya lagi.
Greta sebelum ini dilihat melontarkan kebimbangannya serta memarahi ketua-ketua dunia di Majlis United Nations Climate Summit kerana tidak mengambil tindakan terhadap perubahan iklim.
Hanya Greta sahaja yang berani mengambil tindakan sedemikian!
Sejak dua tahun lalu, Greta telah berhenti menjelajah dengan menaiki kapal terbang dan berhenti makan daging sebagai kesedarannya menyelamatkan alam sekitar.
Greta dalam masa yang sama turut meluangkan hari persekolahannya selama tiga minggu untuk memprotes di luar bangunan parlimen Sweden demi mengenengahkan isu perubahan iklim.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]