Selepas beberapa teguran dibuat sebelum ini oleh Dr Amalina Che Bakri termasuklah penjualan susu perisa pisang oleh selebriti terkenal Neelofa, kini beliau sekali lagi membuat teguran mengenai penjualan produk kesihatan atau juga dikenali sebagai jamu.

Pakar bedah kelahiran Malaysia yang berpangkalan di London, United Kingdom (UK) itu cukup dikenali dengan kelantangannya bersuara menentang mitos perubatan dan berita palsu di media sosial.
Dengan lebih 1 juta pengikut di Twitter dan Instagram, Dr Amalina sering mendidik dan mewujudkan kesedaran orang ramai terutamanya rakyat Malaysia supaya membuat keputusan bijak mengenai kesihatan mereka.
Menyedari lambakan produk kesihatan berbahaya dan maklumat kurang tepat disebarkan influencer media sosial, Dr Amalina menggesa agar undang-undang mengawal selia produk kesihatan di Malaysia diperketatkan.
“Syarikat membayar selebriti bagi menyokong produk perubatan dan menyasarkan demografi paling mudah untuk didekati.
“Penyembuhan ajaib dan produk menawarkan penyembuhan cepat amat popular di Malaysia, negara kelahiran saya walaupun tidak mempunya sebarang kajian klinikal.
“Produk itu sudah lama diiklankan di media arus perdana tetapi kini boleh didapati untuk pembelian segera di media sosial. Sesetengah produk menawarkan penyembuhan segera untuk penyakit seperti kencing manis, kegagalan buah pinggang kronok dan kanser,” katanya.
Beliau berkata undang-undang kawal selia itu juga perlu dikemaskini kerana ia diwujudkan pada 1956.
“Ia kedengaran tidak masuk akal. Baru-baru ini saya membantah produk herba dikenali sebagai jamu yang didakwa mampu mengetatkan vagina.
“Begitu juga produk pemutihan berbahaya yang mengandungi merkuri dijual secara berleluasa di seluruh Asia tetapi memberi risiko besar kepada kesihatan.
“Trend ini amat membimbangkan kerana ia sering menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan untuk pelanggan yang cetek pengetahuan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Amalina turut menyatakan kebimbangan mengenai tindakan Instafamous yang menggalakkan pelbagai produk pseudosains, ubat ajaib dan berbahaya serta amalan perubatan meragukan.
“Sebagai contoh terapi intravena multivitamin menjadi trend yang semakin popular walaupun kajian klinikal terhad dijalankan untuk mengesahkan manfaat kesihatan yang diuar-uarkan kepada pengguna.
“Pada September, Instagram melancarkan pengharaman produk penurunan berat badan toksik dan pembedahan kosmetik yang dipromosikan Kim Kardashian dan influencer media sosial lain.
“Ramai syarikat menggunakan khidmat influencer untuk mempromosikan produk kesihatan.
“Inisiatif ini adalah langkah positif ke arah melindungi pengguna walaupun pemasaran influencer agak keterlaluan,” katanya.
Mengenai matlamatnya pada 2020, Dr Amalina bekata beliau mahu menghasilkan aplikasi digital dan laman web pendidikan untuk kanak-kanak sekolah bagi meningkatkan kesedaran di kalangan generasi muda mengenai pelbagai isu kesihatan umum.
“Internet dan media sosial boleh menjadi persekitaran yang tidak menentu tetapi saya tidak sesekali takut dengan golongan minoriti yang menyebarkan kebencian mereka kerana lebih ramai masyarakat positif yang ada di media sosial.
“Adalah penting untuk kekal fokus, mengabaikan troll dan negativiti serta menyediakan maklumat perubatan berserta bukti ketika mengeluarkan kenyataan.
“Objektif saya adalah untuk membantu rakan sejawatan saya di Malaysia dan seluruh dunia serta menggalakkan orang lain dalam bidang penguatkuasaan melakukan perkara sama,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]