Projek Bandar Malaysia kembali selepas urus niaga dimeterai

Projek Bandar Malaysia kembali selepas urus niaga dimeterai

Putrajaya menandatangani suatu urus niaga dengan konsortium yang juga terdiri daripada syarikat China bagi membangunkan projek 195.5ha di Kuala Lumpur itu.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings, Lim Kang Hoo menerangkan berkenaan Bandar Malaysia pada majlis menandatangani perjanjian Bandar Malaysia di PICC Putrajaya. Turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Duta Besar China ke Malaysia, Bai tian.
PUTRAJAYA:
Projek Bandar Malaysia, yang sebelum ini dikaitkan dengan 1MDB, akan diteruskan selepas kerajaan menandatangani suatu urus niaga dengan sebuah konsortium yang juga terdiri daripada syarikat China hari ini.

Dalam kenyataan bersama, TRX City Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, berkata ia memeterai urus niaga dengan IWH-CREC Sdn Bhd, konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (CREC), untuk membangunkan Bandar Malaysia.

IWH-CREC sedang membeli 60% kepentingan ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd, pemaju induk projek itu, daripada syarikat induk, TRX City.

Putrajaya meluluskan penerusan projek itu pada April.

Majlis pemeteraian projek jutaan ringgit itu juga dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Syarat urus niaga itu adalah IWH-CREC, selaku pemaju induk, mesti membina 10,000 unit rumah mampu milik di Bandar Malaysia.

Bandar Malaysia terletak di tanah seluas 195.5ha di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan kerajaan dikatakan meminta 28.3ha dijadikan kawasan hijau di tengah-tengah pembangunan itu.

Nilai pembangunan kasar projek itu dijangka RM140 bilion, katanya.

Dalam urus niaga baru itu, pembayaran berperingkat dipendekkan daripada 7 tahun kepada 3 tahun.

Kenyataan itu juga berkata di samping jumlah deposit asal RM741 juta, IWH-CREC akan membayar tambahan RM500 juta sebagai pendahuluan, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran pendahuluan RM1.24 bilion.

Projek itu dibatalkan oleh pentadbiran Barisan Nasional pada Mei 2017, mengatakan IWH-CREC gagal memenuhi batas waktu pembelian 60% kepentingan dalam projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.