
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong mengumumkan perkara itu hari ini susulan pertemuan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam.
“Berita baik, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di mana Sabah dan Sarawak rakan sama rata bersama Malaya (Tanah Melayu) akan dibentang sekali lagi pada sesi Parlimen 2020 yang dijangka bermula pada 09 Mac 2020,” katanya di Facebook hari ini.
Menurut Liew, pertemuan semalam turut membincangkan 4 isu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) “yang perlu dibentang berterusan”.
“Untuk makluman, daripada 21 isu, 17 isu telah dipersetujui oleh pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Liew dipercayai merujuk kepada 4 isu besar yang belum diselesaikan Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan MA63, iaitu isu royalti minyak dan bayaran wang petroleum; minyak galian dan lapangan minyak; Akta Laut Wilayah; dan hak negeri ke atas pentas benua.
Putrajaya gagal mendapatkan Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi Perkara 1(2) selepas gagal memperoleh sokongan 2/3 wakil rakyat.
Dalam undian belah bahagi, hanya 138 ahli Parlimen menyokong sedangkan sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan 148 dariada 221 kerus Parlimen.
Putrajaya dilaporkan berkata rasional penggubalan pindaan itu untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63.