
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamad berkata, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan sama ada SD yang dikatakan dibuat oleh bekas anggota Unit Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri itu wujud atau sebaliknya.
“Kita belum dapat lagi SD itu, di mana kamu dapat SD itu. Kita belum tengok, kecuali kamu boleh bawa kepada kami.
“Kami akan lihat kemudian, SD itu wujud ke tidak wujud,” katanya ketika ditanya sama ada polis akan membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya dan memanggil Najib untuk disoal berdasarkan SD yang dibuat Azilah, yang kini menunggu hukuman mati atas sabitan kesalahan membunuh warga Mongolia itu pada 2006.
Ketika ditanya sama ada Bukit Aman akan menghantar pegawai untuk bertemu Azilah, Huzir memaklumkan pihaknya akan menentukan perkara itu kemudian selepas mendapat maklumat kesahihan SD.
Terdahulu peguam yang mewakili keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu menggesa siasatan segera dilakukan berhubung dakwaan terbaru terhadap Najib berkait kes pembunuhan wanita tersebut pada 2006, sementara sumber yang rapat dengan bekas perdana menteri itu mendakwa ia merupakan satu konspirasi untuk memenjarakan beliau.
Ini susulan laporan bahawa Azilah, salah seorang bekas polis yang dijatuhi hukuman mati kerana pembunuhan kejam Altantuya, membuat satu SD dari dalam penjara mendakwa Najib memberi arahan kepada mereka supaya melakukan pembunuhan tersebut.
Antara lain Azilah berkata bahawa Abdul Razak Baginda, bekas kekasih Altantuya yang dilepaskan daripada tuduhan membunuh, dan pegawai kanan polis Musa Safri, maklum tentang “arahan” daripada Najib itu.
“Pendedahan oleh Azilah dalam SD beliau sangat mengejutkan dan keluarga Altantuya akan membuat permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk menjadi pemerhati dalam semakan mahkamah ke atas permohonan tersebut,” kata Ramkarpal Singh yang mewakili 2 anak Altantuya, bapanya Shaariibuu Setev dan isteri beliau.
Mereka menuntut ganti rugi daripada Azilah, rakan jenayahnya Sirul Azhar Umar, Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.
Sirul kini ditahan di pusat tahanan imigresen Australia sejak 3 tahun lepas selepas melarikan diri ke negara berkenaan.
Pihak berkuasa Australia tidak menghantar pulang pencari suaka yang berdepan hukuman mati.
Najib hari ini menolak dakwaan Azilah dengan menyifatkannya sebagai langkah terdesak orang yang berdepan hukuman mati.