Korea Selatan pelanggan senjata AS ke-4 terbesar di dunia

Korea Selatan pelanggan senjata AS ke-4 terbesar di dunia

Korea Selatan membuat pembelian senjata daripada AS bernilai AS$6.28 antara 2009 dan 2018.

Korea Selatan membeli 40 unit pesawat pejuang Stealth F-35A dari Amerika Syarikat. (Gambar AFP)
SEOUL:
Korea Selatan menjadi pembeli senjata Amerika Syarikat (AS) ke-4 terbesar di dunia sejak 10 tahun lepas, lapor agensi berita Yonhap memetik data kerajaan hari ini.

Menurut buku tahunan pasaran pertahanan global yang diterbitkan Agensi Pertahanan bagi Teknologi dan Kualiti Korea Selatan, AS mengeksport senjata bernilai AS$93.1 bilion antara 2009 dan 2018.

Daripada jumlah itu, Korea Selatan membuat pembelian bernilai AS$6.28 bilion dan menduduki tempat ke-4 di dunia.

Arab Saudi merupakan pelanggan nombor 1 senjata AS dengan pembelian bernilai AS$13.47 bilion diikuti Australia (AS$7.76 bilion) dan Emiriah Arab Bersatu (AS$6.92 bilion).

Jepun berada di tangga ke-8 dengan pembelian bernilai AS$3.64 bilion.

Buku tahunan itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut jenis senjata yang dibeli negara terbabit namun pembelian oleh Korea Selatan membabitkan 40 unit pesawat pejuang Stealth F-35A, 4 pesawat tanpa pemandu Global Hawk dan pelbagai jenis peluru berpandu.

Daripada penghantaran ke luar senjata AS sejak sedekad lepas, pesawat menyumbang sebanyak 56.1% diikuti peluru berpandu (16.5%) dan kenderaan berperisai (11.8%).

Sepanjang tempoh itu, AS telah mengimport senjata bernilai AS$7.67 bilion daripada negara luar termasuk Jerman, Britain, Kanada dan Perancis.

Korea Selatan bagaimanapun tidak termasuk dalam senarai 20 negara teratas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.