Jangan berprasangka pada penjawat awam, calon presiden Cuepacs beritahu Putrajaya

Jangan berprasangka pada penjawat awam, calon presiden Cuepacs beritahu Putrajaya

Setiausaha Kewangan Cuepacs, Mohd Razali Singah berkata, jentera kerajaan akan berfungsi dengan lancar jika kerajaan dan penjawat awam saling menghormati satu sama lain.

Mohd Razali Singah (tiga dari kiri) bercakap pada sidang media di Serdang hari ini.
SERDANG:
Seorang calon presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan tidak berprasangka buruk terhadap penjawat awam bagi mengelakkan jentera kerajaan terjejas.

“Kalau dapat elak prasangka buruk, jentera kerajaan akan dapat berjalan dengan harmoni.

“Tak ada perkara negatif, ini bermaksud saling hormat-hormati. Kerajaan perlu hormati penjawat awam dan penjawat awam hormati kerajaan,” kata Setiausaha Kewangan Cuepacs, Mohd Razali Singah pada sidang media di sini hari ini.

Pada 8 Dis lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau akan mendapatkan maklumat mengenai dakwaan wujudnya rasa tidak puas hati sehingga ada penjawat awam yang cuba mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan.

Perdana menteri bagaimanapun yakin kerajaan pimpinannya mampu menangani masalah itu, jika ia benar-benar berlaku.

Hari ini, Razali berkata, Cuepacs perlu kembali ke era kegemilangannya untuk melindungi penjawat awam daripada diremehkan pihak lain.

Katanya, Cuepacs juga perlu lebih aktif menyuarakan masalah dihadapi penjawat awam, bukannya ahli politik.

“Cuepacs mesti menjadi suara pertama beri respons, bukan pihak lain.

“Ini kerana Cuepacs tak jadi macam dulu lagi, tak ada sentuh kebajikan, tetapi orang lain bercakap seperti ahli-ahli politik, di mana suara Cuepacs?” soal calon presiden Cuepacs itu bagi sesi 2019 hingga 2022.

Kira-kira 1,400 perwakilan Cuepacs akan memilih kepimpinan tertinggi mereka pada Konvensyen Tritahunan ke-28 Cuepacs selama 3 hari bermula esok di Shah Alam.

Lima calon akan bersaing merebut jawatan presiden, selepas Azih Muda dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatan itu apabila perkhidmatannya berakhir hari ini.

Selain Razali dan Setiausaha Agung Cuepacs, Adnan Mat, 3 lagi pesaing mereka ialah Timbalan Presiden, Zainal Ismail, Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Abdul Malik Mohamed Zin dan Presiden Kesatuan Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia, Ahmad Shuffir Zakaria.

Razali berjanji akan mempertahankan skim pengambilan tetap dan pencen bagi penjawat awam baru, jika beliau memenangi jawatan presiden Cuepacs.

Beliau juga mahu kenaikan gaji penjawat awam dirombak dan mengembalikan perjuangan Cuepacs supaya ia dihormati serta digeruni pihak lain.

“Perlu dirombak cara kenaikan gaji tahunan untuk selaras dengan kos sara hidup.

“Ini kerana masih ada penjawat awam yang tertinggal, terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40).

“Kenaikan minimum bermula RM200. Masa ini kenaikan gred penjawat awam di bawah RM95 ke RM100 berbanding penjawat awam di peringkat atasan menerima kenaikan gaji RM300 ke RM400 setahun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.