
Ketua Pemuda Amanah Hasnul Zulkarnain ketika dihubungi FMT berkata, kedua-dua elemen tersebut adalah pra syarat bagi anak muda mempertingkatkan pengetahuan mereka dalam bidang yang diceburi.
Menurut Hasnul, ia terutamanya melibatkan bidang yang mempunyai permintaan khusus berkaitan dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam era Revolusi Industri 4.0 dan teknologi AI (Artificial Intelligence) yang semakin berkembang pesat.
Atas sebab itu katanya, Pemuda Amanah bersama badan pemikir parti kini dalam usaha mengusulkan kertas cadangan yang menumpukan kepada pelan pembangunan ekonomi anak muda berhubung pemerkasaan kemahiran yang lebih komprehensif.
“Bidang TVET dan pertanian moden khasnya, sejajar dengan keperluan 35% pekerja berkemahiran tinggi dalam guna tenaga seperti yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030),” katanya sambil menambah kajian itu dimulakan sebaik sahaja kerajaan Pakatan Harapan (PH) melancarkan WKB2030.
Pada 4 Dis lalu, Hasnul dipilih sebagai ketua Pemuda Amanah yang baru bagi pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Pemuda Amanah Nasional 2019-2022 dalam konvensyen tahunan parti itu yang berlangsung selama 3 hari di Shah Alam.
Pada minggu yang sama, selain Amanah, sayap Pemuda Umno dan PKR juga menyuarakan hasrat dan agenda untuk membawa anak muda dengan acuan dan perancangan parti masing-masing.
Naib ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan menawarkan skim program jaminan kerja kepada semua golongan muda dan mereka yang tamat pengajian dijanjikan pekerjaan yang dicipta oleh kerajaan pada gaji berpatutan.
Pendekatan Shahril dilihat seakan sama dengan strategi skim pekerjaan yang dicanang oleh calon presiden Amerika Syarikat (AS) Bernie Sanders dengan nasihat ahli Senat, Stephanie Kelton.
Dalam pada itu ketua Pemuda PKR Akaml Nasir yang konsisten dalam memperjuangkan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Ting Negara (PTPTN) dan kos sara hidup golongan mahasiswa.
Mahu bukti Amanah bukan parti serpihan
Sementara itu, pemuda berusia 38 tahun ini juga bertekad membuktikan Amanah bukanlah parti serpihan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Katanya, dalam usaha menarik lebih ramai ahli baru ke dalam sayap Pemuda, beliau sedang menyusun bagaimana bakat anak muda dalam kepimpinan parti boleh diketengahkan sebagai figura mengikut bidang kepakaran masing-masing.
Beliau percaya, unsur kreativiti menjadi keutamaan untuk menarik minat anak muda melibatkan diri dalam politik parti, khususnya dengan menggunakan platform media sosial, seperti Twitter dan Instagram yang dilhat lebih mesra dengan golongan itu.
“Kita juga akan merangka bagaimana untuk menarik perhatian ‘influencer’ untuk bersama kita, di samping membina ‘influencer’ dalam kalangan pemuda Amanah.
“Untuk itu, Biro Pembangunan Kepimpinan akan diberi perhatian lebih serius bagi memastikan usaha ini dan idealisme Pemuda Amanah terus diperkasa, selain menonjolkan pemimpin muda Amanah,” katanya.
Dengan usaha itu, jelas Hasnul, sayap Pemuda Amanah menyasarkan kemasukan ahli baru sehingga 100 ribu dengan pecahan sekurang-kurangya 1,000 ahli bagi setiap kawasan.
“Ini sasaran kita.”