
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim berkata, berhubung saman tersebut, defendan telah memfitnah plaintif.
“Dalam fikiran orang yang waras, ayat yang dipersoalkan dalam sebuah buku telah mencemarkan kehormatan plaintif. Jadi fitnah telah dibuktikan,” katanya, merujuk kepada buku yang diterbitkan oleh Sarawak Report bertajuk “The Inside Story of the 1MDB Expose”.
Zaid berkata, beliau bersetuju dengan peguam plaintif, Mohd Haaziq Pillai bahawa defendan tidak perlu memanggil pakar bahasa bagi membuktikan ayat dalam buku itu tidak bersifat memfitnah.
“Jelas dan nyata bahawa rujukan kepada “beliau (her)” dalam ayat yang dipertikaikan itu adalah plaintif, bukannya Sultan (Terengganu),” katanya.
Zaid berkata, “bebannya kini telah berpindah kepada defendan” dan mereka boleh memilih untuk bergantung pada pembelaan yang wujud dalam kes fitnah atau mengambil pendirian bahawa tidak ada kes yang perlu dijawab.
Rewcastle Brown dan 2 yang lain memetik pembelaan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.
Hakim menetapkan 20 Jan depan untuk pengurusan kes.
Sultanah Nur Zahirah memfailkan permohonan meminta samannya diputuskan secara penghakiman terus pada 27 Mei di bawah Aturan 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Beliau menyaman Rewcastle Brown atau Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga pada 21 Nov tahun lepas.
Beliau mendakwa, Rewcastle Brown membuat kenyataan fitnah terhadap beliau dalam bukunya dan mendakwa ia boleh membawa maksud beliau terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, selain menggunakan kedudukan beliau untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB.
Beliau mendakwa, kenyataan itu juga membawa maksud beliau menolong ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, menjadi penasihat TIA.
Sultanah Nur Zahirah berkata, beliau tidak pernah terlibat dalam pentabiran kerajaan Terengganu dan penubuhan TIA, justeru kenyataan berkenaan telah memfitnah dan menjatuhkan reputasinya.
Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah dan defendan ketiga tidak mengulangi atau mencetak buku berkenaan.
Peguam Kalis Isma Alif yang mewakili defendan memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada mahu membuat rayuan atau sebaliknya.