
Amerika Syarikat pada Julai lalu mengharamkan Min Aung Hlaing daripada memasuki negara itu, tetapi semalam tindakan berkenaan dilanjutkan kepada pembekuan aset dan sebarang transaksi kewangan yang dilakukan ketua tentera Myanmar itu dengan mana-mana pihak di negara tersebut.
Jabatan Perbendaharaan mengenakan sekatan sama terhadap tiga komandan kanan Myanmar yang lain, serta 14 individu dari negara lain, bagi memantau Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa.
“Amerika Syarikat tidak akan bertolak ansur dengan penyeksaan, penculikan, keganasan seksual, pembunuhan atau kekejaman terhadap orang awam yang tidak bersalah,” kata Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dalam satu kenyataan.
“Amerika Syarikat adalah pemimpin dunia dalam memerangi penyalahgunaan hak asasi manusia dan kami akan menahan si pelaku yang bertanggungjawab di mana sahaja mereka beroperasi.”
Tentera Myanmar dituduh mengetuai kekejaman ke atas Rohingya di Rakhine pada 2017, di mana masyarakat muslim minoriti itu tidak dianggap sebagai rakyat oleh negara yang didominasi penganut Buddha tersebut.
Kira-kira 740,000 orang Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh selepas dikenakan tindakan keras oleh tentera Myanmar, dengan penyiasat PBB menggambarkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Amerika Syarikat mendakwa terdapat laporan “yang boleh dipercayai” mengenai kejadian rogol secara besar-besaran dan keganasan seksual lain oleh tentera di bawah arahan Min Aung Hlaing.
Tindakan terbaru Amerika Syarikat itu dikeluarkan ketika Myanmar dipanggil membela diri di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda atas tuduhan melanggar konvensyen genosida tahun 1948.
Pemimpin awam Myanmar yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, didakwa tidak menghiraukan pembunuhan Rohingya sehingga mencemarkan imejnya sebagai seorang ikon di Barat, secara peribadi memimpin negaranya dalam kes yang dibawa oleh Gambia tersebut.
Amerika Syarikat juga mengambil tindakan terhadap militan terkenal di Republik Demokratik Congo, Angkatan Demokrat Bersekutu yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Jabatan Perbendaharaan mengenakan sekatan terhadap pemimpin kumpulan itu, Musa Baluku, serta 5 individu lagi yang dituduh menyokong kumpulan tersebut.
Amerika Syarikat turut mengenakan sekatan ke atas 5 individu atas dakwaan penyalahgunaan kuasa di Sudan Selatan yang terkesan akibat perang, seorang pegawai atasan polis Pakistan yang dituduh terlibat dalam beberapa siri pembunuhan, dan seorang komandan militan di Libya.
Jabatan Perbendaharaan juga menyekat seorang ahli perniagaan Eropah-Slovakia, Marian Kocner yang dituduh terlibat dalam aktiviti rasuah peringkat tinggi dan mengarahkan pembunuhan wartawan penyiasat, Jan Kuciak pada 2018.