Sanna Marin perdana menteri baru, termuda Finland

Sanna Marin perdana menteri baru, termuda Finland

Wanita berusia 34 tahun itu menang tipis ke atas Antti Lindtman, pengerusi kumpulan ahli Parlimen Parti Demokratik Sosial berusia 37 tahun.

Sanna Marin (Gambar Facebook)
HELSINKI:
Parti Demokratik Sosial Finland (SDP), antara 5 parti yang membentuk kerajaan gabungan, semalam memilih Sanna Marin yang berusia 34 tahun sebagai perdana menteri termuda negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Wanita itu yang kini merupakan menteri pengangkutan dan komunikasi Finland, menang tipis mengatasi Antti Lindtman, pengerusi kumpulan ahli Parlimen Parti Demokratik Sosial berusia 37 tahun, dengan keputusan undian 32-29.

Undian itu dilakukan majlis Parti Demokratik Sosial petang semalam dan keputusannya diumumkan menerusi siaran televisyen nasional.

Jawatan perdana menteri kosong apabila penyandangnya, Antti Rinne terpaksa meletak jawatan selepas Parti Tengah, antara rakan kongsi kerajaan gabungan, hilang kepercayaan terhadap beliau.

Komposisi gabungan sebelum ini akan diteruskan.

Kelima-lima parti bermesyuarat pada Ahad petang dan berjanji akan mematuhi program Kabinet yang berundur.

Gabungan itu terdiri daripada Parti Demokrat Sosial, Parti Tengah, Parti Hijau, Parti Perikatan Kiri dan Parti Rakyat Sweden.

Susulan kemenangan beliau, Marin memberi kenyataan ringkas yang menggesa perpaduan parti. Kaedah rasmi perubahan kerajaan akan diteruskan hari ini.

Media tempatan berkata Presiden Sauli Niinisto mungkin melantik kerajaan baru esok.

Marin memegang jawatan sebagai menteri pengangkutan dan komunikasi Finland sejak Jun 2019. Beliau juga adalah timbalan pengerusi SDP yang memimpin parti itu semasa Rinne melanjutkan cuti sakitnya pada musim sejuk lepas.

Marin juga adalah seorang ahli Parlimen.

Beliau mula dikenali dalam senario politik perbandaran di Tampere, bandar kedua terbesar di Finland dan merupakan pengerusi Majlis Perbandaran Tampere dari 2013 hingga 2017.

Marin memiliki ijazah sarjana dalam Sains Pentadbiran dari Universiti Tampere.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.