
Beliau menggunakan kisah Alfonso de Albuquerque mempergunakan Utimutiraja atau Sri Utama Raja untuk mempengaruhi sokongannya kepada Sultan Melaka, bagi mengingatkan pemimpin dan ahli PKR supaya berwaspada terhadap individu seperti itu.
“Semalam presiden juga mengambil masa mengupas panjang sejarah Melayu dan kaitannya dengan perjuangan kita,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR di sini, hari ini.
Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan lebih seabad, sebelum ia jatuh ke tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso pada 1511.
Si Kitol yang dibangkitkan Anwar dalam ucapan dasarnya semalam, ialah pembelot dan pemfitnah yang menjadi punca kejatuhan kerajaan Melayu Melaka di tangan tentera Portugis.
Semalam, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bersama sekutunya meninggalkan dewan ketika Kongres Nasional parti itu sedang berlangsung kerana tidak puas hati dengan tindakan Anwar menyorot kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar yang jelas membuka laluan kepada perwakilan untuk melakukan serangan peribadi.
Anwar bagaimanapun berkata, ia adalah masalah Azmin jika menteri hal ehwal ekonomi itu terasa dengan kisah Si Kitol dalam ucapan dasarnya.
Katanya, beliau hanya mahu merujuk kisah yang disebutkan dalam sejarah itu, tetapi bukannya menyasarkan Azmin.
Hari ini, Shamsul berkata, Utimutiraja yang dikatakan orang kaya sangat berpengaruh, diamanahkan Sultan Melaka untuk menjaga sebuah kawasan bernama Upih daripada ancaman serangan Portugis.
“Namun, dia dan orang-orangnya enggan berperang kerana merasakan Sultan Melaka akan kalah, manakala Portugis akan menang.
“Sultan Melaka amat kesal sehingga baginda terpaksa membayar upah kepada mereka untuk menentang Portugis.”
Bagaimanapun, katanya, askar upahan tidak bersungguh-sungguh melawan Portugis kerana dihalang Utimutiraja.
Timbalan menteri industri utama itu berkata, Alfonso sebenarnya mempergunakan Utimutiraja untuk menjejaskan sokongannya kepada Sultan Melaka.
“Inilah muslihat Alfonso yang berjaya memperdaya Utimutiraja. Ketika perang sedang berlangsung, Alfonso memberikan pas kepada Utimutiraja beserta isteri, anak dan orangnya untuk mendapat suaka politik dari Portugis.
“Utimutiraja melihat kemusnahan kota Melaka dengan harapan dia akan mendapat kedudukan dalam pemerintahan Portugis nanti.
“Namun, Alfonso mengungkit kesalahan anak serta menantu Utimutiraja. Tanpa belas ihsan, pada 27 Dis 1511, Alfonso memenggal Utimutiraja bersama ahli keluarganya yang lain.”