Azmin dan sekutu tak hadir hari terakhir Kongres PKR

Azmin dan sekutu tak hadir hari terakhir Kongres PKR

Timbalan presiden PKR bersama sekutunya meninggalkan kongres parti itu separuh jalan semalam kerana tidak berpuas hati dengan ucapan dasar Anwar dan perwakilan lain.

Tian Chua (depan, dua dari kiri) berada di pentas bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) pada hari terakhir Kongres Nasional PKR di Melaka hari ini.
AYER KEROH:
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan pada hari terakhir Kongres Nasional parti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) hari ini.

Selain Azmin, Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan timbalannya, Dr Daroyah Alwi, Timbalan Ketua Pemuda, Hilman Idham, Ketua PKR Sarawak, Baru Bian, Ketua PKR Selangor, Amirudin Shaari dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Mohd Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah serta Kamaruddin Jaafar juga tidak kelihatan.

Daripada kalangan pemimpin yang meninggalkan dewan ketika kongres berlangsung semalam, hanya Naib Presiden PKR, Tian Chua yang kelihatan di kongres hari ini.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim tiba di dewan separuh kosong sejurus selepas 9 pagi tadi.

Tetapi, lebih ramai perwakilan tiba kemudian dan seorang pegawai parti berkata, kongres hari ini mempunyai kuorum 1/3 perwakilan.

Semalam, Azmin dan sekutunya mendakwa Anwar gagal memenuhi janji bagi memastikan komposisi pembahas mewakili semua pihak, tidak menyindir dan melakukan serangan peribadi.

Katanya, tindakan Anwar memulakan ucapan dasarnya dengan mengupas kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar membuka laluan kepada pembahas untuk melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan dalam parti, tetapi Anwar menafikan kisah itu menyasarkan mana-mana pihak.

Azmin, 3 naib presiden dan Haniza dijadual menyampaikan ucapan penggulungan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.