
Bekas speaker Amanah, Onn Jaafar dalam Konvensyen Amanah Nasional hari ini mengumumkan keputusan pemilihan 27 ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional yang berlangsung semalam.
Turut kekal untuk penggal ke-2 ialah Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden, manakala Mahfuz Omar, Mujahid Yusof Rawa dan Hasanuddin Mohd Yunus pula terus menyandang jawatan naib presiden.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengungguli pemilihan semalam dengan undi tertinggi, iaitu 786 undi mengatasi 87 pencabar lain.
Mahfuz menyusul dengan 780 undi, sementara Salahuddin di tempat ke-3 dengan 765 dan Mujahid di tempat ke-4 dengan 755 undi.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu terpaksa berpuas hati di tempat ke-7 dengan 681 undi.
Seramai 822 perwakilan dari seluruh negara mengundi menerusi sistem e-undi untuk memilih speaker, timbalan speaker, juruaudit dan 27 AJK Pimpinan Nasional bagi penggal 2019/2022.
Mengikut perlembagaan parti, selepas keputusan pemilihan diumumkan, speaker perlu mengadakan mesyuarat dengan 27 AJK, ketua sayap dan 14 pengerusi negeri.
Mesyuarat itu diadakan untuk memilih presiden, timbalan presiden dan tidak lebih 3 naib presiden daripada kalangan 27 AJK.
Presiden pula mempunyai kuasa melantik tidak lebih 2 naib presiden, setiausaha agung dan beberapa jawatan lain.