
Ada yang berteriak “buka pintu”, manakala seorang perwakilan dilihat bergelut dengan seorang anggota pasukan keselamatan PKR sebelum mereka dipisahkan perwakilan lain.
Mereka tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan.
Pengarah Komunikasi Pemuda PKR, Wong Chun Yuan berkata, hanya perwakilan dengan tag sesuai dibenarkan memasuki dewan.
“Kami akan sambung semula proses kemasukan ke dewan selepas keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sementara itu, kekecohan berlaku di dalam dewan apabila anggota pasukan keselamatan cuba mengusir bekas pengerusi tetap Pemuda PKR, Mizan Adli Mohd Noor yang dipecat baru-baru ini.
Beberapa perwakilan berdiri dan menolak Mizan ketika beliau cuba mengambil tempat pengerusi tetap di bahagian depan.
Adegan tolak-menolak berlarutan beberapa minit ketika Kongres Nasional Pemuda PKR berlangsung.
Mizan dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad dipecat Majlis Pimpinan Pemuda PKR kerana pemilihan mereka meragukan.
Dalam surat bertarikh 27 Nov lalu, Pemuda PKR menyatakan alasan mereka dipecat kerana usia melebihi 35 tahun dan jumlah undi diterima mereka melebihi perwakilan yang menghadiri Kongres Nasional Pemuda PKR tahun lalu.
Mizan dan Ramly dilaporkan berkata, tidak masuk akal mempersoalkan kedudukan serta undi diperolehi mereka selepas setahun Kongres Nasional Pemuda PKR berlangsung.