
Peguam Rafique Rashid Ali berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada DBKL bagi mendapatkan maklumat lengkap pegawai penguat kuasa terlibat, sebelum membawa kes ke mahkamah.
“Hari ini kita secara rasmi hantar surat kepada datuk bandar Kuala Lumpur, pengarah undang-undang dan pendakwaan DBKL serta pengarah bahagian penguat kuasa DBKL, mohon nama-nama pegawai penguat kuasa yang terlibat.
“Pihak kami merasakan ada keperluan mendesak untuk mulakan tindakan undang-undang sivil terhadap pegawai terbabit,” katanya pada sidang media.
Rafique berkata, anak guamnya membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang selepas memperoleh laporan perubatan penuh dikeluarkan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Katanya, laporan menyatakan sememangnya Za’imuddin mengalami kecederaan akibat kejadian, yang boleh membawa risiko lumpuh, sekali gus mengesahkan lelaki berusia 28 tahun itu bukan hanya berlakon sakit seperti didakwa.
“Sampai sekarang Za’imuddin masih pakai alat bantuan sokongan,” katanya.
Dalam pada itu, Rafique berkata, pihak anak guamnya turut sedia mempertimbangkan tindakan terhadap pengguna media sosial yang memfitnahnya.
Za’imuddin sebelum ni dilaporkan cedera dalam pergelutan dengan anggota penguat kuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac, dikatakan kerana menjual belon tanpa lesen sah.
DBKL mendakwa, Za’imuddin enggan mematuhi arahan dan bertindak agresif walaupun selepas diberi tiga amaran, malah menolak salah seorang pegawai namun dinafikan lelaki itu.
Pada 6 April, pengamal perubatan swasta Dr Mohd Hafidz Rizal Amran mendakwa Za’imuddin mungkin berisiko lumpuh kekal selepas mengalami kecederaan teruk pada saraf tunjang toraks T12.
Beliau juga mendakwa Za’imuddin menghadapi banyak komplikasi susulan kecederaannya, seperti berasa kebas dan tidak dapat mengawal kencing.