
Beliau percaya Majlis Presiden Pakatan Harapan akan memastikan proses transisi jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
“Dalam soal kepimpinan, kita tidak boleh lari daripada persoalan mengenai peralihan kuasa perdana menteri.
“Kita kekal akur dan memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan bagi menjamin kelancaran pentadbiran,” katanya ketika meyampaikan ucapan dasar dalam Kongres Nasional Tahunan Pemuda PKR di Pemuda PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) di sii, hari ini.
Isu peralihan jawatan perdana menteri terus membayangi kepimpinan Mahathir dengan beliau berkali-kali menegaskan akan melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Anwar seperti dipersetujui dalam kalangan pemimpin PH walaupun tarikh tepatnya tidak ditentukan.
Akmal bagaimanapun berkata, spekulasi dan keresahan di luar juga merencatkan kestabilan ekonomi dan memberi ruang kepada “musuh” untuk merosakkan rancangan itu.
“Saya yakin PKR kekal dengan janjinya dan kita seharusnya berterima kasih kepada pimpinan tertinggi PPBM, Amanah dan DAP yang komited dengan agenda
Harapan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Akmal menyeru kepada Pemuda PKR untuk bersama-sama memastikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) peninggalan Barisan Nasional (BN) dimansuhkan dan digantikan dengan cara yang lebih holistik dan mampan bagi membantu golongan pelajar dan graduan.
Beliau berkata, sekiranya PH terus mewarisi kaedah lapuk kerajaan BN, nasib anak muda akan terus ditekan dan bebanan hutang yang ditanggung kerajaan akan melangkaui hutang 1MDB.
“Masalahnya graduan bukan sahaja terbeban dengan hutang, tetapi juga pendapatan yang rendah. Hakikatnya 68% daripada peminjam PTPTN masih lagi berpendapatan rendah dalam kategori B40.
“Manakala bebanan tanggungan kerajaan terus meningkat dengan penambahan RM2 hingga RM3 bilion bebanan terkumpul setiap tahun. Berdasarkan unjuran, sekiranya PTPTN tidak ditangani dengan baik, hutang ini akan meningkat menjadi RM76 bilion dalam masa 20 tahun dari sekarang,” katanya.