
Salah seorang peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustpha, berkata pasukan pembelaan diberitahu mengenai rayuan tersebut hari ini melalui emel daripada pendaftar Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Nov lepas melepaskan dan membebaskan Rafizi selepas membatalkan sabitan mendedahkan akaun bank berkaitan NFC, anak syarikatnya dan pengerusi Salleh Ismail.
Nik Zarith berkata pendaftar juga menetapkan 9 Mac sebagai tarikh sebutan rayuan.
Sementara itu, peguam Zaid Malek, yang mewakili bekas pegawai Public Bank, Johari Mohamad yang dituduh bersekongkol dengan Rafizi, juga mengesahkan mereka dimaklumkan pendaftar mahkamah mengenai rayuan tersebut.
Rafizi dituduh mendedahkan akaun bank manakala Johari dituduh berkomplot dengannya di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.
Mahkamah Sesyen mendapati mereka yang pada awalnya dituduh bawah Bafia, yang kemudian digantikan dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas kedua-duanya.
Berikutan rayuan yang dikemukakan, Mahkamah Tinggi kemudian membebaskan mereka selepas memutuskan beberapa dokumen yang dihasilkan semasa perbicaraan tidak dapat diterima kerana tidak berada dalam bentuk asal.