
Kemasyhuran kopi yang digelar sebagai minuman ajaib mula menjadi kegemaran di dunia Arab sebelum tersebar ke seluruh dunia.
Hari ini, kopi menjadi antara minuman paling digemari masyarakat dunia dengan dianggarkan tiga bilion cawan diminum setiap hari malah angka ini menunjukkan peningkatan setiap hari.
Sememangnya ia mempunyai kelebihan tersendiri jika kopi menjadi minuman permulaan hari anda.
Ia boleh memberi tenaga dan membuat anda lebih bijak.

Ini terbukti apabila Pegawai Perbuatan International Medical Healthcare (IMU), Dr James Liew Yen Yee menyatakan bahawa bahan perangsang iaitu kafein dikira sebagai bahan paling banyak diambil oleh penduduk di seluruh dunia.
“Selepas anda meminum kopi, kafein akan diserap masuk ke dalam saluran darah. Dari situ, ia akan dihantar ke otak.
“Di otak pula, kafein akan menghalang adenosina (inhibitory neurotransmitter). Apabila perkara ini berlaku, kadar ‘neurotrasmitter’ yang lain seperti ‘norepinephrine’ dan ‘dopamine’ akan meningkat dan membawa kepada peningkatan neuron,” katanya pada majlis pembentangan mengenai Kopi dan Kafein: Kelebihan dan risikonya di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Menurutnya lagi sudah banyak kajian yang dijalankan ke atas manusia berkaitan kesan pengambilan kopi ke atas fungsi otak.
Ia termasuklah daya ingatan, “mood”, tahap tenaga, reaksi dan fungsi kognitif sekaligus menjelaskan kopi adalah minuman terbaik pada setiap pagi.

Bagaimanapun, ia bergantung pada tubuh badan seseorang individu sama ada boleh menerima minuman tersebut atau tidak.
“Ada orang yang pening, ada orang rasa tak boleh minum kopi, bukan semua badan sama, tapi kalau boleh minum, anda boleh terus kan seperti biasa,” katanya lagi.
Namun kopi juga merupakan minuman terlarang bagi sesetengah individu seperti golongan menopaus yang sedang menjalani terapi hormon.
“Anda perlu faham golongan wanita yang menopaus ini adalah mereka yang kurang kalsium, jadi kopi adalah minuman terbaik untuk mereka, apatah lagi jenis kopi yang mereka ambil boleh di pelbagaikan, contohnya Latte.
“Tetapi bagi golongan menopaus yang sedang membuat terapi hormon, anda perlu menghentikan sebarang minuman yang berkafein kerana akan memberi kesan kepada tubuh badan anda,” jelasnya dengan lebih mendalam.
Sebab itu terdapat beberapa negara lain seperti California yang melabelkan kopi sebagai penyebab kanser.
“California mempunyai mahkamah liberal, mereka akan melabelkan apa sahaja minuman yang boleh mendatangkan kesan negatif walaupun 0.001%, dan mereka akan memberi cadangan jenis minuman yang boleh diambil.
“Ia berbeza dengan Malaysia, kerana hakikatnya selagi anda menjalani kehidupan dengan amalan gaya hidup yang sihat, kopi tidak akan menjadi pembunuh atau penyebab anda menghadapi sebarang penyakit,” katanya.

Mengulas lanjut, James turut berkata bagi mengelakkan sebarang penyakit, kopi boleh diminum dengan tidak melebihi 400mg setiap hari, dengan sukatan hanya tiga ke empat cawan sehari.
Namun anda juga perlu ingat bahawa minuman bukan jenis kopi sebenarnya turut mempunyai jumlah kafein yang mungkin anda tidak pernah ketahui sebelum ini.
“Dalam minuman berkarbonat juga ada kafein seperti Coke ada 35mg kafein, Mountain Dew 54mg kafein, Pepsi 36 ke 38mg kafein, Red Bull 80mg.
“Dalam aiskrim juga mempunyai kafein seperti aiskrim ‘Starbucks Coffee’ 60mg kafein, dan aiskrim ‘Haagan-Dazs coffee’ dan yogurt 58mg kafein,” katanya lagi.
Malah tambahnya teh juga mempunyai kafein bagi beberapa jenis teh seperti “Arizona Iced Tea”, “Arizona Iced Tea green” dan Nestea dimana kandungan kafeinnya di antara 15 hingga ke 32mg.
Semua maklumat tersebut menurut James berdasarkan laman web Uptodate.com.
Sehubungan itu, tegas James adalah disarankan untuk setiap individu tidak mengambil kopi dan minuman berkarbonat dalam satu masa yang sama kerana jika dos berlebihan, ia boleh menjejaskan tubuh badan anda.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]