SPRM akan semak jika terima laporan rasuah tender bekal bot TLDM

SPRM akan semak jika terima laporan rasuah tender bekal bot TLDM

Ia selepas tersebar beberapa mesej WhatsApp yang mendakwa berlakunya penyalahgunaan kuasa dan penipuan dalam pengurusan tender bagi pembekalan 18 bot FIC.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata beliau akan menyemak sama ada agensi anti-rasuah telah menerima sebarang laporan berhubung kemungkinan penyalahgunaan kuasa berhubung tender Bot Fast Interceptor Crafts (FIC) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Saya perlu semak. Saya akan beritahu anda,” katanya kepada pemberita pada seminar peningkatan etika perniagaan dan integriti, hari ini.

Awal minggu ini dilaporkan tersebar beberapa mesej WhatsApp yang mendakwa berlakunya penyalahgunaan kuasa dan penipuan dalam pengurusan tender bagi pembekalan 18 bot FIC.

Portal berita Suara.tv berkata mesej itu mendakwa ketua jawatankuasa pengurusan tender meminta ahli jawatankuasa menandatangani halaman penilaian yang tidak lengkap.

Ia juga mendakwa ketua jawatankuasa memendekkan senarai syarikat yang disenarai pendek untuk tender dari 10 kepada 4 tanpa pengetahuan ahli lain.

Portal itu berkata 64 syarikat menghadiri taklimat tender yang diadakan di pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 25 Julai.

Terdapat 44 syarikat mendaftar untuk tender sebelum tender ditutup pada 3 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.